TAN ROUXIN ketika ditemui pemberita selepas lawatan CDM, Datuk Hamidin di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil. -FOTO Bernama
TAN ROUXIN ketika ditemui pemberita selepas lawatan CDM, Datuk Hamidin di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil. -FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perenang wanita negara, Tan Rouxin mengakui ia sangat bermakna dapat beraksi di Sukan Olimpik pada usia 18 tahun dan menganggap ia ibarat mimpi menjadi kenyataan walaupun layak menerusi wild card.

Menurut perenang kelahiran Johor itu, dia sangat gembira kerana tahun lalu tidak pernah terfikir mampu melayakkan diri ke temasya berkenaan.

"Malah tahun ini juga saya tidak terfikir akan melayakkan diri, sehinggalah saya mendapat slot ini, sangat terkejut," katanya kepada media selepas Sesi Lawatan Chef de Mission (CDM), Datuk Hamidin Mohd Amin di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Jelasnya, sehingga sekarang dia masih tertanya-tanya betulkah mendapat peluang ke Paris dan seperti berada di awang-awangan.

"Sampai sekarang saya masih tidak percaya dapat pergi ke Olimpik, memang kurang yakin tapi jurulatih beritahu saya juga mempunyai kekuatan tersendiri.

"Saya rasa ia satu pengalaman indah buat saya dapat pergi ke Olimpik. Saya bangga dapat wakil Malaysia dan berjanji memberikan yang terbaik," katanya yang beraksi dalam acara 100 meter kuak dada.

Kata Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur 2022 itu, dia sentiasa mengingatkan dirinya bahawa sentiasa berasa yakin dan berani untuk bersaing dengan perenang lain di Olimpik.

"Saya berharap dapat memecahkan catatan peribadi terbaik di Paris. Catatan itu 1 minit 11.2 saat (s), yang dilakukan dua tahun lalu. Manakala catatan terbaik musim ini pula 1:11.5s ketika dilakukan pada Mac atau April lalu.

"Saya juga akan kekal dengan pendekatan tersendiri apabila berada di sana, iaitu mendengar muzik, tidur awal, lakukan yoga untuk menghilang tekanan. Saya sentiasa berkata kepada diri sendiri, sentiasa yakin, berikan yang terbaik di dalam latihan," katanya.

Selain Rouxin turut layak ke Olimpik dalam acara renang ialah Khiew Hoe Yean yang akan beraksi dalam acara 400m gaya bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 12:34 PM