ROUXIN baru berusia 16 tahun. FOTO  Hazreen Mohamad
ROUXIN baru berusia 16 tahun. FOTO Hazreen Mohamad
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Perenang wanita Johor, Tan Rouxin layak digelar ratu kolam renang Sukan Malaysia (Sukma) 2022 selepas melengkapkan koleksi enam pingat emas peribadinya, hari ini.

Pingat emas keenam Rouxin hadir menerusi acara 100 meter (m) kuak lentang selepas menewaskan lapan peserta lain dengan catatan masa 1:05.19 saat (s) manakala perenang dari Wilayah Persekutuan, Chong Xin Lin meraih perak (1:05.55s) dan gangsa milik Kelly Teo Yao dari Sarawak (1:07.41s).

Perenang berusia 16 tahun itu jelas tidak menyangka dengan pencapaiannya itu apatah lagi ini penampilan pertamanya dalam temasya Sukma.

Rouxin turut berharap dengan prestasi cemerlang dalam temasya edisi ke-20 ini mampu menjadi pembuka laluan untuk dia diserap masuk ke dalam skuad kebangsaan sekali gus mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong dan sentiasa berada di belakang saya selama ini. Kejayaan kali ini juga sangat tak disangka-sangka.

"Dengan enam pingat emas pada penampilan pertama saya di Sukma, ia adalah perkara luar biasa. Saya sangat tak percaya.

"Selepas ini saya mahu melayakkan diri ke Sukan Sea Kemboja tahun depan kerana itu harapan terbesar saya setakat ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Untuk rekod, lima lagi pingat emas diraih Rouxin menerusi acara 200m kuak lentang, 50m kuak dada, 100m kuak dada, 200m kuak dada, 200m medley.

Sementara itu, perenang lelaki dari Wilayah Persekutuan, Bryan Leong Xin Ren turut cemerlang selepas meraih lima pingat emas menerusi acara 50m kuak kupu-kupu, 100m kuak kupu-kupu, 50m kuak dada, 50m gaya bebas selain membantu pasukannya memenangi acara 4X100 gaya bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 9:10 PM