ROUXIN bertanding di Paris atas tiket wildcard.
ROUXIN bertanding di Paris atas tiket wildcard.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Perenang muda negara, Tan Rouxin diharapkan dapat meraih sebanyak mungkin pengalaman apabila membuat penampilan pertama di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Olimpian negara, Phee Jing En berkata, biarpun akan berdepan cabaran sengit daripada perenang terbaik dunia, Jing En berharap Rouxin akan dapat menanganinya.

Namun Rouxin yang akan bersaing dalam acara 100 meter (m) kuak dada wanita perlu bersedia dalam semua aspek kerana Paris 2024 menjanjikan cabaran yang cukup berbeza.

"Saya rasa dia memerlukannya kecekalan yang tinggi apabila bersaing di sana nanti. Cabaran di Olimpik adalah berbeza dan sukar kerana ia adalah temasya sukan terbesar di dunia.

"Harapan saya adalah supaya dia dapat memberikan segala-galanya dan bekerja keras, lebih-lebih kami beraksi dalam acara yang sama. Memang selama ini pun saya mengharapkan ada junior untuk ambil alih tempat saya," katanya.

Terdahulu, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mengumumkan Rouxin terpilih atas tiket wildcard ke Olimpik Paris bersama seorang lagi perenang lelaki negara Khiew Hoe Yean yang akan bersaing dalam 400m gaya bebas lelaki.

Sebagai rekod, kemampuan perenang kelahiran Johor itu sudah dapat dikesan ketika dia menampilkan aksi cukup baik pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 sehingga berjaya merangkul enam pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 5:23 PM