KHIEW Hoe Yean. FOTO FATHIL ASRI
KHIEW Hoe Yean. FOTO FATHIL ASRI
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Perenang negara, Khiew Hoe Yean mempunyai misi yang tersendiri apabila turun bertanding pada kejohanan dunia renang di Fukuoka, Jepun yang bakal membuka tirainya minggu hadapan.

Atlet berusia 21 tahun itu menyasarkan untuk memecahkan rekod peribadi terbaik dalam semua acara yang disertainya bagi kategori renang gaya bebas kategori 200 meter (m), 400 m dan 800 m.

Dalam masa yang sama, dia juga turut berharap catatan masa yang bakal dilakukannya di kejohanan itu mampu untuk melayakkan dirinya beraksi secara merit di temasya Olimpik Paris 2024.

"Ketika ini persiapan semua berjalan dengan lancar dan ada baki lagi satu minggu sebelum bertanding di kejohanan dunia. Saya juga ketika ini bebas dari kecederaan dan tidak sabar untuk beraksi di kejohanan itu.

"Untuk sasaran, saya berharap mampu untuk memecahkan rekod peribadi terbaik saya apabila bertanding dalam setiap acara. Di sana nanti saya akan masuk dalam gaya bebas 200m, 400m dan 800m manakala untuk kuak lentang saya tak pasti akan masuk atau tidak.

"Kalau ada rezeki saya harap catatan masa yang dilakukan di sana nanti mampu melayakkan diri untuk beraksi di Olimpik Paris sebab kejohanan itu menawarkan tiket untuk beraksi di temasya itu,"katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, pada edisi lalu yang berlangsung di Budapest Hungary, perenang kelahiran Selangor itu menamatkan saingan di kedudukan ke-15 dalam acara 400 m gaya bebas dengan berjaya memecahkan rekod baru kebangsaan 3m 48.72 saat.

Selain Hoe Yean, beberapa lagi perenang negara bakal menggalas cabaran negara di kejohanan dunia renang antaranya, Bryan Leong, Andrew Goh, Jayden Tan dan pemegang rekod kebangsaan acara kuak dada wanita, Phee Jinq En.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 4:14 PM