AKSI Djokovic ketika bertemu Frances Tiafoe. FOTO AFP
AKSI Djokovic ketika bertemu Frances Tiafoe. FOTO AFP
AFP

London: Novak Djokovic mempamerkan aksi memberangsangkan selepas dua bulan tidak beraksi ketika bintang Pasukan Eropah itu menewaskan Frances Tiafoe 6-1, 6-3 di Piala Laver, hari ini.

Djokovic tidak menunjukkan sebarang tanda berkarat pada penampilan pertamanya sejak memenangi kejuaraan Wimbledon ketujuh dalam kariernya, Julai lalu.

Pemain berusia 35 tahun itu meraih kemenangan dominan ke atas Tiafoe di O2 Arena London dan satu lagi kemenangan hanya beberapa jam kemudian bersama Matteo Berrettini dalam acara beregu.

Djokovic dan Berrettini menewaskan Jack Sock dan Alex de Minaur 7-5, 6-2 untuk meletakkan Pasukan Eropah mendahului 8-4 menjelang pusingan akhir.

Juara Grand Slam 21 kali itu terlepas beraksi di Terbuka AS pada bulan ini kerana statusnya yang tidak divaksin sekali gus menyaksikannya terpaksa berehat daripada aksi kompetitif.

"Saya tidak beraksi selama dua bulan, jadi saya sangat gembira kerana menang. Ia adalah perlawanan yang cukup baik," katanya.

Kemenangan Djokovic itu juga mendapat sokongan bekas seterusnya, Roger Federer di tepi gelanggang yang sudah mengumumkan secara rasmi untuk bersara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 9:43 AM