GAVIN layak ke temasya Olimpik selepas berada dalam kelompok 60 pemain terbaik. -FOTO FA Gavin
GAVIN layak ke temasya Olimpik selepas berada dalam kelompok 60 pemain terbaik. -FOTO FA Gavin
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain golf profesional negara, Gavin Kyle Green bakal beraksi di Sukan Olimpik Paris yang akan bermula bulan depan sekali gus penampilan kali ketiganya berturut-turut di temasya sukan terbesar dunia itu.

Ia selepas pemain negara itu berjaya menempatkan diri dalam kelompok 60 pemain terbaik layak ke temasya berkenaan sebaik tarikh tutup kelayakan berakhir hari ini.

Gavin bersama 59 pemain lain layak berdasarkan kepada senarai ranking dunia rasmi Persekutuan Golf Antarabangsa (IGF) di mana setakat kemaskini terakhir 10 Jun lalu, dia berada di kedudukan ke-53.

Pemain negara berusia 30 tahun itu beraksi kali pertama di pentas Olimpik pada edisi 2016 di Rio yang menyaksikannya menamatkan saingan di kedudukan ke-47.

Dia kemudian tampil pada Sukan Olimpik Tokyo yang menyaksikannya menduduki tempat ke-57.

Setiausaha Kehormat MGA, Dato Zulkifli Ismail berkata, pihaknya sangat berbangga dengan pencapaian Gavin dan sememangnya menjangkakan pemain itu akan layak beraksi di Paris.

"Gavin adalah pemain amatur di bawah MGA ketika era awalnya sebelum bertukar status pro. Dia juga sudah mempunyai pengalaman luas sebagai pemain pro.

"Dia sememangnya seorang pemain yang bagus dan ibu bapanya sentiasa beri sokongan kepadanya. Mewakili MGA, kami sememangnya amat bangga dengan pencapaiannya yang akan beraksi di Olimpik kali ketiga berturut-turut selepas Rio dan Tokyo," katanya ketika dihubungi.

Bintang Amerika Syarikat, Xander Schauffele akan kembali ke Sukan Olimpik untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya empat tahun lalu. Dia akan disertai oleh rakan senegara, Scottie Scheffler, Wyndham Clark dan Collin Morikawa.

Acara golf bagi kategori lelaki dijadual berlangsung dari 1 sehingga 4 Ogos di Le Golf National di Guyancourt, tempat berlangsungnya saingan Piala Ryder 2018 dan tuan rumah kepada Terbuka Perancis sejak 1991.

Pemain golf wanita negara, Ashley Lau dijangka akan mengikut jejak langkah Gavin untuk layak dalam kategori wanita.

Kemaskini IGF minggu lalu menyaksikannya berada di kedudukan ke-49 ketika tarikh kelayakan untuk kategori wanita akan berakhir 24 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 3:44 PM