MCILROY perlu mencari semangat baharu menjelang Terbuka Scotland dan The Open. FOTO Reuters
MCILROY perlu mencari semangat baharu menjelang Terbuka Scotland dan The Open. FOTO Reuters
AFP

Miami: Rory Mcilroy berkata, dia merancang untuk berehat daripada bermain golf selepas menyifatkan kejatuhan epik di Terbuka Amerika Syarikat (AS) mungkin sebagai hari yang 'paling sukar' dalam kerjaya profesionalnya.

Dalam komen terbuka pertamanya sejak kekalahan di Pinehurst pada yang membolehkan Bryson DeChambeau meraih kemenangan satu pukulan, Mcilroy berkata, kejohanan seterusnya ialah Terbuka Scotland pada 11 hingga 14 Julai, sebagai pemanas badan untuk Terbuka British.

"Semalam adalah hari yang sukar, mungkin yang paling sukar saya alami dalam hampir 17 tahun sebagai pemain golf profesional," kata Mcilroy, yang menarik diri daripada Kejohanan Travelers minggu ini di Connecticut.

Mcilroy, yang meninggalkan Pinehurst dengan segera tanpa bercakap kepada media, mensia-siakan kelebihan dua pukulan ketika baki lima lubang, apabila membenam bogey pada tiga daripada empat lubang terakhir untuk menyerahkan kedudukan kemenangan kepada DeChambeau.

Dua bogey McIlroy berlaku daripada putt yang terlepas kurang daripada 1.2 meter.

Ia adalah kejadian menyedihkan terbaru untuk Mcilroy dalam percubaannya untuk menamatkan kemarau satu dekad mengejar kejuaraan utama kelima.

McIlroy kini mempunyai 21 penamat 10 teratas, termasuk empat naib juara, sejak kejohanan terakhirnya pada 2014.

Pemain berusia 35 tahun dari Ireland Utara itu bagaimanapun menegaskan dia percaya perkara positif mampu mengatasi keputusan negatif ketika bencana di Terbuka AS.

"Saya akan menyesali beberapa perkara sepanjang kejohanan, kebanyakannya dua putt yang terlepas pada lubang 16 dan 18 pada hari terakhir," kata McIlroy.

"Tetapi seperti yang saya selalu cuba lakukan, saya akan melihat pada perkara positif minggu ini yang jauh mengatasi negatif.

"Seperti yang saya katakan pada permulaan kejohanan, saya berasa hampir untuk memenangi kejuaraan utama saya yang seterusnya, berbanding yang pernah saya alami.

"Satu perkataan yang saya akan menggambarkan kerjaya saya sebagai 'berdaya tahan'. Saya menunjukkan daya tahan saya berulang kali dalam tempoh 17 tahun yang lalu dan saya akan melakukannya lagi.

"Saya akan mengambil masa beberapa minggu lagi untuk memproses segala-galanya dan membina diri saya kembali bagi mempertahankan kejuaraan di Terbuka Scotland dan memburu Terbuka British di Royal Troon.

"Jumpa anda di Scotland."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 10:01 AM