AFP

Washington: Rory McIlroy melakukan putt sejauh 14 kaki untuk birdie pada lubang keempat playoff bagi mengatasi Ryan Moore sebelum menjuarai Kejohanan Jelajah PGA AS serta meraih bonus playoff Piala FedEx sebanyak AS$10 juta (RM41.2 juta).

Bersama-sama hadiah playoff dan hadiah juara sebanyak AS$1.53 juta (RM6.32 juta), McIlroy, juara kejohanan utama empat kali meraih hadiah berjumlah AS$11.53 juta (RM47.6 juta) di East Lake, Atlanta, Georgia.

“Ia sungguh menakjubkan,” kata McIlroy, selepas kemenangan pada Kejuaraan Deutsche Bank kini mengumpul AS$13.81 juta (RM57.07 juta) menerusi aksi playoff.

“Apa yang saya mahu lakukan pada awal hari ini adalah memberi tumpuan terhadap menjuarai Kejohanan Jelajah. Bagaimanapun, saya masih mampu bersaing dan mara ke aksi playoff.”

Pemain nombor dua dunia Dustin Johnson berkongsi tangga keenam tetapi selepas menamatkan musim ini di tangga teratas Piala FedEx masih berpeluang meraih bonus playoff sekiranya Moore atau Kevin Chappell menjuarai kejohanan itu.

Chappell tersingkir pada lubang pertama playoff, iaitu lubang ke-18 apabila McIlroy terlepas peluang mencatat eagle yang mampu meletakkannya sebagai juara.

Moore melakukan putt sejauh sembilan kaki pada lubang playoff pertama yang mana dia dan McIlroy kembali untuk beraksi di lubang ke-18, kedua-duanya meraih par, seperti juga pada lubang playoff ketiga di lubang ke-15.

Lubang playoff keempat membawa mereka ke lubang ke-16, yang mana McIlroy melakukan pukulan sejauh 328 ela. Moore melakukan putt untuk catatan par apabila McIlroy bangkit dan melakukan percubaan dari jarak 14 kaki untuk birdie.

Kejayaan McIlroy hadir pada lubang ke-16 apabila dia memastikan aksi playoff dengan pukulan 140 ela dari fairway untuk eagle.

Dia menyusulinya dengan birdie di lubang ke-18 untuk 64 pukulan sekali gus menyertai Moore, yang turut melakukan 64 pukulan dan Chappell yang melakukan 66 pukulan dengan 12 bawah par 268.

“Saya sedar saya perlukan sesuatu untuk berlaku,” kata McIlroy.

“Saya katakan pada diri sendiri pada tee ke-15 bahawa saya berpeluang untuk menang.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 9:04 AM