BARISAN pemain skuad ragbi Perlis (hadapan) yang akan dipersiapkan bersaing dalam Kejohanan Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7 Sepasukan sebagai persiapan menghadapi Sukma 2024 di Sarawak nanti. FOTO Aizat Sharif
BARISAN pemain skuad ragbi Perlis (hadapan) yang akan dipersiapkan bersaing dalam Kejohanan Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7 Sepasukan sebagai persiapan menghadapi Sukma 2024 di Sarawak nanti. FOTO Aizat Sharif
Oleh Aizat Sharif


Arau: Persatuan Ragbi Perlis (PRP) menyasarkan sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir kepada tiga kelab yang bernaung di bawah persatuan itu iaitu Perlis Border Boys, Perlis Sukma 24 dan Perlis Border Girls dalam Kejohanan Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7 Sepasukan yang dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 2 Jun hadapan.

Malah, kejohanan ragbi berprestij itu juga akan digunakan sebagai medan persiapan skuad lelaki Perlis Sukma 24 menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak pada akhir Ogos depan.

Presiden PRP, Syed Hazrain Syed Razlan Jamalullail berkata, kejohanan yang dianjurkan sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-81 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail itu bakal berlangsung di Padang B Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar dan menyasarkan penyertaan 17 kelab ragbi dari seluruh negara termasuk lima daripadanya adalah kelab ragbi dari Indonesia dan Thailand.

"Kejohanan tahunan ini sudah memasuki edisi kelima selepas kali terakhir dianjurkan pada 2022 dan penganjurannya juga sudah mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri Perlis, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) serta Majlis Sukan Negeri Perlis.

"Lima kelab antarabangsa dari Indonesia dan Thailand turut bersaing merebut kejuaraan kejohanan itu adalah Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta bagi kedua-dua kategori, All For One dari Bangkok, Thailand, Provinsi Aceh (Indonesia), dan Thaksin University, Songkhla, Thailand," katanya.

Kejohanan Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7 Sepasukan sering dijadikan sebagai medan persiapan pasukan ragbi dari seluruh negara bagi menghadapi kejohanan atau pertandingan sukan yang lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 4:42 PM