PELUMBA trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri layak ke Sukan Olimpik Paris. FOTO BERNAMA
PELUMBA trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri layak ke Sukan Olimpik Paris. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membuktikan bahawa tiada yang mustahil di dunia ini jika apa yang diingini diusahakan dengan sepenuh hati.

Ketika tiada sebarang harapan diletakkan, pelumba kelahiran Kedah berusia 20 tahun itu mencelah di antara kelompok sembilan atlet yang berjaya melayakkan diri ke temasya besar dunia, Olimpik Paris Ogos ini.

Kejayaan itu menyaksikan Izzah meneruskan legasi pelumba trek wanita negara selepas Fatehah Mustapa yang pernah beraksi di dua temasya Olimpik sebelum ini iaitu London 2012 dalam acara keirin dalam Olimpik Rio 2016 pecut individu.

Juara Asia dalam acara keirin dan pecut itu mengakui kejayaan melayakkan diri ke Olimpik bagaikan mimpi menjadi nyata.

Ia adalah keputusan yang tidak dijangka apabila impiannya menjadi realiti.

Malah dia mengharapkan episod ini akan menjadi satu permulaan untuk kerjaya lebih gemilang selepas.

"Saya menerima perkhabaran, bukan hanya impian saya tapi impian semua atlet untuk beraksi di Olimpik menjadi kenyataan.

"Satu langkah besar untuk saya apabila akan berada di barisan hadapan. Ini adalah permulaan untuk saya mengorak langkah ke depan. Masih banyak yang perlu saya pelajari dalam kerjaya ini.

"Tapi saya membuktikan tiada yang mustahil dan saiz bukan satu-satunya ukuran kejayaan," katanya.

Izzah turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokongnya terutama keluarga yang menjadi sumber kekuatannya dan tulang belakang kejayaannya hari ini.

Dia turut bertekad untuk sentiasa bekerja keras dan sentiasa memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Sementara itu ketua jurulatih negara John Beasley menyifatkan penyertaan Izzah ke Paris adalah batu loncatan terbaik buat pelumba muda negara itu menimba pengalaman kerana Izzah adalah projek untuk Olimpik Los Angeles 2028.

Di Paris, Izzah akan menjadi pelumba trek wanita pertama yang akan beraksi dalam dua acara iaitu keirin dan pecut.

Nama Nurul Izzah menjadi sebutan apabila penampilannya di pentas antarabangsa mula menyerlah dengan memenangi pingat emas acara 500 meter (m) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2022 di New Delhi, India.

Ia disusuli dengan kejayaan memenangi dua pingat emas masing-masing acara keirin wanita dan 500m ujian masa pada ACC 2024 di New Delhi pada Februari lepas, iaitu menyamai pencapaian bekas pelumba wanita kebangsaan Fatehah Mustapa yang meraih emas acara keirin wanita pada edisi 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 12:00 PM