EWERT (jersi biru) melakukan henjutan terakhir menuju garisan penamat untuk memenangi perlumbaan peringkat keempat. FOTO PERSATUAN BERBASIKAL THAILAND
EWERT (jersi biru) melakukan henjutan terakhir menuju garisan penamat untuk memenangi perlumbaan peringkat keempat. FOTO PERSATUAN BERBASIKAL THAILAND
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Terengganu Cycling Team (TSG) terus mempamer kehebatan di Tour of Thailand (ToT) apabila pelumba import mereka, Jesse Ewert memenangi perlumbaan peringkat keempat sejauh 155.9 kilometer (km) dari Phitsanulok ke Phetchabun, hari ini.

Ewart, 30, melintasi garisan penamat terlebih dahulu dengan catatan masa tiga jam 38 minit 26 saat (s) walaupun diasak wakil tuan rumah, Thanakhan Chaiyasombat dari Thailand Continental Cycling Team dan Adne Van Engelen (Roojai Insurance).

"Ia seakan-akan tidak percaya kami berjaya memenangi peringkat ini. Ini menunjukkan kami menjadi lebih baik dari semasa ke semasa," kata pelumba yang pernah mewakili Sapura Cycling Team itu.

Kejayaan Ewert mengulangi pencapaian rakan sepasukannya, Nur Aiman Rosli yang menakluki peringkat kedua iaitu perlumbaan paling jauh ToT iaitu 202.3km pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, Nur Aiman tidak pulang dengan tangan kosong selepas berakhir peringkat keempat hari ini apabila memenangi gelaran pelumba paling agresif.

Walaupun memenangi peringkat keempat, Ewert yang pernah meraih juara keseluruhan sebanyak dua kali di Tour de Singkarak (2018 dan 2019) mengakui mereka perlu berperang dengan keadaan cuaca panas.

"Perlumbaan semalam pun panas, begitu juga hari ini dan kami terpaksa berdepan dengannya.

"Mungkin saya sedikit bertuah (berjaya muncul juara)," kata Ewert selepas mengharungi perlumbaan dalam cuaca purata 35 darjah selsius.

Ditanya mengenai perlumbaan peringkat kelima esok dari Phitsanulok ke Phichit sejauh 159km, Ewert berkata, mereka mempunyai beberapa pelumba pilihan lain seperti Anatoliy Budyak yang bersaing merebut juara keseluruhan dan Irwandie Lakasek.

Bagaimanapun, Budyak sekarang ini ketinggalan 1:11s di belakang pemegang jersi kuning, Van Engelen dan baki dua peringkat selepas ini lebih kepada laluan landai tatkala dia adalah seorang pakar pendakian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 5:38 PM