SAINBAYAR (tengah) meraikan kejayaannya bersama rakan sepasukan lain. FOTO TSG
SAINBAYAR (tengah) meraikan kejayaannya bersama rakan sepasukan lain. FOTO TSG
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) menutup tirai Jelajah Thailand hari ini dengan pencapaian positif apabila pelumbanya Jambaljamts Sainbayar berjaya merangkul gelaran pelumba terbaik keseluruhan.

Walaupun menamatkan pelumbaan terakhir dengan menduduki tempat kedua, Jambaljamts berjaya mengekalkan momentum sejak hari pertama saingan sekali gus mengesahkan Jersi Kuning miliknya.

Pada perlumbaan peringkat keenam, Adne van Engelene dari Bike Aid berjaya memperoleh tempat pertama dengan catatan masa 3 jam 45 minit 16 saat sementara Sarawut Sirironnachai mewakili Thailand Continental Cycling Team di kedudukan ketiga ( 3 jam 45 minit 51 saat).

Bagi kategori pasukan terbaik pula dimenangi oleh Bike Aid manakala TSG berada di kedudukan kedua dan Team Sapura Cycling ketiga.

Jersi Hijau pula dimenangi oleh pelumba Bike Aid Lucas Carstensen manakala Engelene mengungguli sebagai Raja Bukit (Jersi Polka Dot).

Jelajah Thailand edisi 2021 menawarkan hadiah secara keseluruhan mencecah setengah juta ringgit dengan pasukan Bike Aid mendominasi wang kemenangan itu apabila memperoleh kira-kira RM115,000.

Sementara itu, Jambaljamts berkata, dia berpuas hati dengan kerjasama semua pihak untuk memperoleh keputusan positif dalam perlumbaan Jelajah Thailand.

"Perlumbaan yang cukup mencabar namun saya berterima kasih kepada pasukan, rakan dan juga penaja yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh perlumbaan," katanya.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Nur Amirullah Fakhruddin Mazuki berpuas hati dengan kemenangan itu sekali gus menyaksikan strategi yang diterapkan sepanjang tempoh perlumbaan membuahkan hasil.

"Syukur Alhamdulillah, perlumbaan terakhir rakan sepasukan dapat memenangi Jersi Kuning. Ini adalah hasil daripada strategi berkesan untuk memperoleh kejayaan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 5:27 PM