NOORUL Ariffin terus terajui Yakeb sepenggal lagi.
NOORUL Ariffin terus terajui Yakeb sepenggal lagi.
Ferzalfie

Kuala Lumpur: Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang sekali lagi diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bagi penggal 2021-2023 berazam melaksanakan beberapa impian belum tertunai.

Beliau yang mula mengetuai kepimpinan yayasan berkenaan pada Mac 2019 berkata, selain mahu memperbanyakkan lagi usahasama dengan pihak kerajaan mahupun swasta, antara tumpuannya ialah mahu merealisasikan kewujudan Pusat Kecemerlangan Yakeb yang bakal memberi banyak kelebihan kepada ahli serta yayasan.

"Terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk terus menerajui Yakeb bagi penggal baharu ini. Kita akan berusaha lebih giat untuk dapatkan bekas atlet yang masih belum mendaftar dan memerlukan bantuan.

"Buat masa ini, banyak yang masih belum (tertunai), ada tengah berjalan dan berada di setengah jalan dan mungkin dalam dua tahun ini kita dapat rumuskan semuanya," kata Noorul. Beliau berkata, mereka juga mahu dapatkan rumah untuk bekas atlet dengan kerjasama daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan buat masa ini ada terdapat 62 ahli memohon.

"Daripada 62 itu, 30 peratus adalah dari Selangor dan Wilayah Persekutuan dan kita akan cuba membantu sebaik mungkin. Impian utama adalah kewujudan Pusat Kecemerlangan Yakeb. Kita tengah usahakan supaya Yakeb ada sebuah bangunan sendiri sebagai kemudahan buat bekas atlet. Itu sesuatu yang sedang diusahakan.

"Lokasi di Kuala Lumpur tetapi kita masih menunggu kelulusan Kementerian Pelajaran untuk memberi kebenaran kita menggunakan tanah berkenaan. Pusat ini akan mempunyai kemudahan sukan, ada mini stadium, ada dewan dan hostel untuk bekas atlet datang," katanya.

Noorul juga berpendapat mereka boleh menyewakan kemudahan berkenaan untuk menjana pendapatan Yakeb.

"Selain itu, ia bakal memberi peluang pekerjaan kepada bekas atlet yang tidak mempunyai pekerjaan, menggunakan pengalaman yang mereka ada di pusat kecemerlangan ini nanti," kata Noorul yang mengharapkan impian itu dapat ditunaikan sebelum berakhirnya penggal kedua di bawah kepimpinannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 6:52 PM