NOORUL (kiri) dan wakil keluarga Sabiamad (kanan) menyampaikan sumbangan kepada bekas atlet negara. FOTO NSTP
NOORUL (kiri) dan wakil keluarga Sabiamad (kanan) menyampaikan sumbangan kepada bekas atlet negara. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Bangi: "Arwah salah seorang yang paling banyak menderma kepada bekas atlet."

Demikian pendedahan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed mengenai sikap pemurah bekas jaguh sukan menembak dan Olimpian negara, Allahyarham Datuk Sabiamad Abdul Ahad yang meninggal dunia 10 April lalu.

Jelas Noorul, jasa Sabiamad yang juga seorang ahli perniagaan kepada atlet negara khususnya kepada Yakeb sangat besar apabila sering menghulurkan bantuan kepada pihak yayasan ketika memerlukan sumbangan.

"Arwah sangat mengerti nasib bekas atlet yang berkemampuan sebab pernah berada dalam ahli lembaga Yakeb. Beliau sentiasa bersama kami dan terus membantu bekas atlet," katanya ketika ditemui pada majlis sumbangan kepada 15 bekas atlet negara sempena Ramadan daripada waris keluarga Sabiamad, hari ini.

Sementara itu anak pertama Sabiamad, Nik Nor Baizura pula berkata, arwah ayahnya sememangnya seorang yang suka menderma tetapi enggan mendedahkannya kepada umum.

"Abah lahir daripada keluarga susah. Ibunya penoreh getah dan adik-beradik pula ramai. Sifat memberinya itu sememangnya di tanam kepada anak-anaknya," katanya.

Sabiamad yang meninggal dunia akibat serangan jantung, pernah mewakili negara pada temasya Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS). Selain itu beliau juga pernah mewakili negara di pentas Sukan Sea.

Sementara itu Noorul menafikan isu seolah-olah tiada langsung sumbangan diberikan kerajaan kepada bekas atlet selama ini.

Sebelum ini, tular apabila dua atlet paralimpik, P Mariappan dan Faridul Masri dalam video di media sosial yang seakan kecewa dengan pihak berwajib apabila 'diabaikan' selepas bersara.

"Kedua-dua ini Yakeb ada bantu mereka. Contohnya Mariappan, permohonan atau sokongan diberikan Yakeb untuk dia dapatkan skim SITO (Skim Imbuhan Tetap Olimpik) di mana dia menerima RM2,000 sebulan.

Ini juga usaha Yakeb, malah MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) juga memainkan peranan untuk dia menerima skim berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 10:41 PM