AKSI Shah ketika acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Velodrom Nasional, Jun lalu. FOTO AZRUL EDHAM
AKSI Shah ketika acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Velodrom Nasional, Jun lalu. FOTO AZRUL EDHAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas bergelut ketika di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia, pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom dijangka akan bangkit semula menjelang Sukan Asia Hangzhou, bulan depan.

Perkara itu diakui oleh ketua jurulatih negara, John Beasley yang yakin anak buahnya itu akan tampil berbeza menjelang temasya berkenaan.

"Shah berdepan dengan masalah keyakinan diri dan ia menganggu prestasinya. Dia adalah seorang atlet yang lebih baik berbanding apa yang ditunjukkannya di Glasgow," kata pengendali kelahiran Australia itu.

Shah Firdaus terkandas di pusingan kelayakan acara pecut individu sebelum tersingkir di pusingan repechage bagi acara keirin.

Ujar Beasley, dia percaya anak didiknya itu akan kembali bangkit di Hangzhou dan mampu melakar keputusan yang positif.

"Saya pasti kita akan melihat Shah yang berbeza di Sukan Asia nanti," kata Beasley.

Tambah Beasley, Shah Firdaus yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 dalam acara keirin perlu segera melupakan kekecewaan di Glasgow dan bekerja keras bagi mempersiapkan diri bagi menghadapi temasya di Hangzhou.

"Tiada alasan untuk prestasi yang ditunjukkan Shah, dia perlu muhasabah diri di atas apa yang berlaku di Glasgow dan melupakannya segera. Dia boleh menjadi sebaik sesiapa di sini (Glasgow).

"Walaupun prestasinya tidak konsisten, namun apabila dia berada pada tahap terbaik, dia mampu menjadi pelumba yang sangat bagus. Kita baru saja melihat prestasi Shah yang tidak begitu baik. Perkara ini akan dibincangkan bersama dalam persiapan menghadapi Sukan Asia," katanya.

Shah Firdaus yang menjadi sandaran bagi meraih pingat di Hangzhou akan beraksi dalam acara pecut individu dan keirin.

Sukan Asia Hangzhou akan bermula dari 23 September hingga 8 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 1:49 PM