AZREEN Nabila (kiri) dan Muhammad Arsyad berjaya merangkul pingat emas bagi acara pecut 100 meter dalam kejohanan Varsity Track & Field 2024 (VTF 1) di Stadium Perak, di sini, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
AZREEN Nabila (kiri) dan Muhammad Arsyad berjaya merangkul pingat emas bagi acara pecut 100 meter dalam kejohanan Varsity Track & Field 2024 (VTF 1) di Stadium Perak, di sini, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Universiti Putra Malaysia (UPM) mendominasi acara pecut 100 meter (m) dengan kutipan dua pingat emas dalam kejohanan Varsity Track & Field 2024 (VTF 1) di Stadium Perak, di sini, hari ini bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita melalui atletnya, Muhammad Arsyad Md Saat dan Azreen Nabila Alias.

Muhammad Arsyad, 22, yang mencatat 10.73 saat (s) dipaksa mengerah keringat sehingga ke garisan penamat oleh pesaing terdekat, Nabil Alwani dari Universiti Malaya di tempat kedua dengan catatan masa 10.75s.

Tempat ketiga pula milik atlet KK MAS, Pengiran Aidil Auf Bin Hajam @ Pg Roslie yang menamatkan larian dengan catatan masa 10.87s.

Muhammad Arsyad berkata biarpun berasakan ia bukan pencapaian yang memberangsangkan secara peribadi, namun kemenangan itu adalah permulaan yang baik baginya yang pertama kali menyertai VTF.

"Seronok ada persaingan dengan junior dan senior dan daripada situ, saya boleh perbaiki diri untuk menambah baik prestasi.

"Untuk kejohanan edisi akan datang, saya akan buat persiapan yang lebih baik untuk pecahkan rekod VTF iaitu 10.51s. Saya yakin mampu pecahkan," kata anak jati Batu Pahat, Johor itu ketika ditemui di sini, hari ini.

Atlet negara yang beraksi di Sukan Sea Hanoi 2021 itu turut berazam merangkul pingat emas dalam acara 200m yang berlangsung esok.

Sementara itu, Azreen Nabila, 24, pula berjaya merangkul emas dalam acara sama dengan catatan masa 11.94s, menewaskan dua pencabar terdekat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (USPI), Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka dan Fatin Ilyana Mat Nayan masing-masing menamatkan larian dengan catatan masa 12.79s dan 12.85s.

Anak kelahiran Setiu, Terengganu itu berkata, beliau gembira dan bersyukur kerana dapat mengekalkan penguasaannya dalam acara pecut 100 meter wanita kejohanan sama selepas merangkul emas pada edisi tahun lalu.

"Saya mahu buat lebih baik pada edisi akan datang. Berkat bimbingan jurulatih dan sokongan keluarga serta rakan, saya optimis boleh pecahkan rekod peribadi 11.77s di Olimpik Tokyo 2020 lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 6:45 PM