Muslim meraikan kemenangan selepas menumbangkan Atingpek alam satu perlawanan Muay Thai di Padang Serai, Kedah. - Foto ihsan pembaca
Muslim meraikan kemenangan selepas menumbangkan Atingpek alam satu perlawanan Muay Thai di Padang Serai, Kedah. - Foto ihsan pembaca
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan Muslim Ahmad membuktikan dia bukannya 'cap ayam' dalam sukan Muay Thai apabila berjaya merekodkan kemenangan pertama sebentar tadi.

Lebih manis lagi Muslim yang juga bekas pemain Sri Pahang FC menggunakan lututnya sehingga menyebabkan lawannya 'TKO' pada pusingan kedua yang berlangsung di sebuah pusat beli belah di Padang Serai, Kedah.

Muslim yang kini menjangkau usia 35 tahun menumbangkan Atingpek yang dilihat agak 'lunyai' dibelasah pemain bola sepak itu sehingga dia rebah.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Muslim mempunyai peluang menyinar dalam sukan itu jika terbabit secara serius dan menyertai lebih banyak kejohanan kelak.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan penyokong bola sepak tempatan terkejut apabila Muslim dilaporkan bakal membuat kemunculan dalam satu perlawanan Muay Thai.

Perkembangan itu dikongsikan laman Facebook Kelantan MuayThai Channel yang memaparkan poster perlawanan T-Fight 2.8 antara Muslim Ahmad menentang Atingpek.

Malah, laman Facebook rasmi T-Fight turut berkongsi video beliau tengah giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 11:55 PM