Muslim Ahmad
Muslim Ahmad
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Bekas pemain Harimau Muda, Muslim Ahmad masih belum bercadang untuk mengantung but seterusnya mengucapkan selamat tinggal Liga Malaysia (Liga M).

Menurut pemain kelahiran Terengganu itu, selepas kontraknya dengan pasukan Sri Pahang tidak disambung lagi musim ini, dia masih belum menerima tawaran daripada mana-mana pasukan.

"Saya belum terfikir untuk gantung but lagi atau bersara...pada usia 34 saya masih boleh beraksi dalam saingan Liga M beberapa musim lagi.

"Saya kini menunggu tawaran dari mana-mana pasukan, kalau ada tawaran saya akan pertimbangkan sebelum membuat keputusan," katanya, dihubungi di sini semalam.

Muslim yang sebelum ini pernah bersama Terengganu (2021), Kelantan (2016) dan Pahang (2017-2023) berkata, selepas Kelab Sri Pahang mengumumkan kontraknya tidak disambung musim ini, sehingga kini dia masih lagi belum menerima tawaran daripada mana-mana pasukan.

Tambahnya lagi, pada usia 34 tahun dia memberi jaminan masih lagi mampu beraksi dalam Liga M bersaing dengan pemain muda.

Dia juga bebas daripada kecederaan serius yang boleh menjejaskan prestasi sebenarnya.

Mengenai pembabitan dalam sukan muay thai, Muslim berkata penyertaan dalam sukan mencabar itu lebih kepada hanya suka-suka saja tidak lebih daripada itu.

Tindakan Muslim menyertai muay thai menimbulkan pelbagai persoalan tentang hala tuju kariernya sebagai pemain bola sepak profesional dalam Liga Malaysia.

Perlawanan muay thai babitkan Muslim dan pencabar dari Perlis, Atingpek di jadual berlangsung di Padang Serai, di Kedah, dengan poster pertembungan itu mula tersebar sejak beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 2:34 PM