HISHAMUDDIN   (tengah) pada sidang media Terengganu Fight Festival 2023 (T-Fight) di Wisma Darul Iman. FOTO Faizul Azlan Razak
HISHAMUDDIN (tengah) pada sidang media Terengganu Fight Festival 2023 (T-Fight) di Wisma Darul Iman. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Terengganu Fight Festival 2023 (T-Fight) bakal menghimpunkan 200 peserta muaythai dalam dan luar negara di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak pada 29 hingga 30 September 2023.

Antara jaguh handalan Malaysia yang akan beraksi dalam acara T-Fight kali ini ialah Ali Yaakub, Mat Ropi, Aliff Rakib, Akif Hakimi, Pjan Piranha dan Ejo Ikan Bakar manakala peserta luar negara dari Thailand, Iran, Scotland dan Amarika Syarikat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri menyambut baik penganjuran program seumpama itu demi semangat kesukanan.

Beliau berkata pihak penganjur menganggarkan 15,000 pengunjung akan memeriahkan kejohanan berskala besar yang dianjurkan di negeri ini.

"Konsep yang saya dimaklumkan pihak penganjur adalah mengambil semangat kesukanan dan peraturan pertandingan iaitu dengan mengutip mata sama seperti mana dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) dan bukannya sistem 'knockout' (KO).

"Jadi, atas timbangan ini kita akan melihat dan memantau konsep perjalanan T-Fight ini dengan lebih dekat supaya ia berjalan lancar," katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Hishamuddin Abdul Karim berkata, acara itu juga bakal mencatat sejarah tersendiri apabila menghimpun penggiat yang aktif dalam dan luar negeri dalam satu pertunjukan seni selama 16 jam tanpa henti bagi mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 2:56 PM