PINGAT emas Sukan Olimpik Paris dan Paralimpik dihiasi logam daripada Menara Eiffel di tengahnya. FOTO Reuters
PINGAT emas Sukan Olimpik Paris dan Paralimpik dihiasi logam daripada Menara Eiffel di tengahnya. FOTO Reuters
AFP

Paris: Pingat Sukan Olimpik Paris dan Paralimpik akan dihiasi kepingan logam bentuk heksagon yang diambil daripada Menara Eiffel, menurut penganjur ketika mereka mendedahkannya semalam.

Semua 5,084 pingat emas, perak dan gangsa untuk temasya di Paris bakal menampilkan logam istimewa berbentuk enam segi rekaan rumah berlian elit Perancis, Chaumet.

"Kami mahu menawarkan kepada semua pemenang pingat di Olimpik Paris dan Paralimpik sebahagian daripada logam Menara Eiffel," kata ketua jawatankuasa penganjur, Tony Estanguet.

"Pingat itu kombinasi emas, perak dan gangsa bersama logam paling berharga di negara kami iaitu Menara Eiffel."

"Kami dapati dalam beberapa tahun penjagaannya, ada beberapa struktur asli yang perlu digantikan ketika proses pemuliharaannya," kata Thierry Reboul, pengarah acara ketika sesi previu pingat bersama media.

"Kami gunakan potongan logam ini. Ia sudah lebih daripada mencukupi untuk kami jadikan cenderahati kepada pemenang pingat."

Olimpik Paris bermula 24 Julai sehingga 11 Ogos manakala Paralimpik berlangsung 28 Ogos sehingga 8 September.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 10:51 AM