ADLI  (dua dari kiri) menjadi juara kategori Light Heavyweight WBC Asian Continental, Bangkok.
ADLI (dua dari kiri) menjadi juara kategori Light Heavyweight WBC Asian Continental, Bangkok.
Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Jaguh tinju negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi muncul juara kategori Light Heavyweight WBC Asian Continental selepas menumpaskan petinju Thailand, Tanawat Ketsiri di Spaceplus, Bangkok, Thailand semalam.

Adli yang lebih dikenali Adli Golden Boy, menewaskan lawannya yang berusia 20 tahun itu menerusi kemenangan 'knock out' (KO).

"Saya bertarung sebanyak 10 pusingan namun selepas aksi sengit pada tiga pusingan awal, saya diisytihar pemenang menerusi KO pada pusingan keempat.

"Saya hampir berputus asa ketika terlibat dalam pertandingan, disebabkan kecederaan ligamen kaki pada bulan Jun. Walaupun disarankan berehat, saya kuatkan semangat dan hanya mengambil masa enam minggu untuk pulih sepenuhnya.

"Selepas ini saya akan berehat seminggu dan kembali berlatih untuk menjaga prestasi diri dan menyiapkan diri untuk pertarungan 2024.

"Sebagai atlet profesional, saya memerlukan lawan yang sepadan dengan saya. Oleh itu, saya kerap menjalani latihan di Kuala Lumpur (KL), Pulau Pinang, Pusat Tinju Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai, dan kadang-kala di Singapura. Tambahan pula, jurulatih saya juga menetap di Singapura," kata Adli ketika dihubungi wartawan Arena Metro hari ini.

Adli menambah dia bakal sering berada di Bangkok kerana sudah mempunyai pengurus yang dapat membantu dirinya lebih lagi.

"Saya berharap bagi tahun 2024, saya akan bertarung dengan lebih baik berbanding sebelum ini," kata Adli.

Untuk rekod kali terakhir dia beraksi pada April dengan mencapai kemenangan TKO ke atas petinju Indonesia, Bambang Rusiadi di Singapura.

Semalam adalah pertarungan ke-14 bagi Adli, dan kemenangan menentang atlet Thailand adalah yang ke-13 baginya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 8:09 PM