ADLI bersama tali pinggang yang dimenanginya. FOTO Adli Hafidz Mohd Pauzi
ADLI bersama tali pinggang yang dimenanginya. FOTO Adli Hafidz Mohd Pauzi
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Petinju profesional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi bertekad untuk menumbangkan petinju dari India, Shiva Thakran dalam Kejuaraan WBC Asia Continental yang akan berlangsung pada 29 September ini di Bangkok, Thailand.

Adli yang juga mesra dengan gelaran 'The Golden Boy', kini sedang giat mempersiapkan diri bagi merealisasikan impiannya untuk menambah lagi koleksi tali pinggang kejuaraan.

Bukan itu sahaja, sekiranya dia menang, maka secara automatik namanya akan tersenarai dalam ranking petinju terbaik Asia sekali gus layak untuk beraksi di pentas lebih tinggi.

"Saya sekarang ini dalam persiapan untuk menghadapi Kejuaraan WBC Asia Continental untuk koleksi tali pinggang saya yang kelima di Bangkok, Thailand pada 29 September ini dan saya akan menentang peninju dari India, Shiva Thakran.

"Kalau saya menang dalam kejuaraan kali ini, saya akan dimasukkan dalam senarai ranking Asia dan diberi peluang untuk melebarkan karier saya ke peringkat antarabangsa.

"Ini kerana, saya berhasrat nak sertai kejuaraan di Amerika Syarikat (AS) pula selepas ini. Jadi, perlawanan ini memang penting buat saya," katanya kepada Arena Metro.

Ditanya mengenai sesi latihannya ketika ini, Adli berkata, dia turut dipantau oleh jurulatih dari Institut Sukan Negara (ISN) dan sedang giat menjalani latihan di luar negara sebagai langkah persediaan yang lebih berkesan.

"Sekarang ini lima bulan fasa latihan, saya dibantu oleh jurulatih saya dan dari segi kecergasan pula ada jurulatih dari ISN yang banyak membantu. Saya juga ada berlatih di Singapura dan sekarang ini latihan di Kuala Lumpur.

"Saya masih ada baki tiga minggu lagi untuk persiapkan diri dan saya harap buat yang terbaik untuk bawa balik kemenangan ke Malaysia,"katanya.

Untuk rekod, Adli memulakan penampilan profesional pada 2018 dan sehingga kini sudah memegang rekod 10 kemenangan tanpa tewas selain pernah memenangi Kejuaraan Pertubuhan Tinju Antarabangsa (UBO) pada Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 11:54 AM