ADLI (kiri) akan bertemu Muensa, Sabtu ini. FOTO Agensi
ADLI (kiri) akan bertemu Muensa, Sabtu ini. FOTO Agensi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Episod sedih 2022 sebolehnya mahu dilupakan petinju profesional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi dengan berazam mahu membuka lembaran baru lebih cemerlang untuk 2023.

Petinju yang terkenal dengan gelaran 'The Goldenboy' ini menganggap 2023 adalah tahun kebangkitan buatnya selepas tumpas kepada wakil India, Shiva Thakran September lalu dalam merebut gelaran Majlis Tinju Dunia (WBC) Continental Asia.

"Jadi saya akan mulakan tahun ini dengan memburu kemenangan sulung apabila berentap dengan petinju Thailand, Nakhon Muensa Sabtu ini. Ini adalah pertarungan profesional Super Middleweight dan saya mengharapkan langkah kanan untuk aksi 2023," katanya.

Ujar Adli Hafidz, dia membawa semangat baru itu untuk memperbaharui rekod 10-1-0 dan berharap tahun ini mampu meraih lima kemenangan.

"Saya berazam mahu merampas semula tali pinggang WBC Continental Asia, jadi semuanya sudah dipersiapkan awal sejak saya tumpas tahun lalu dan kembali berpangkalan di Singapura.

"Saya memang meletakkan sasaran untuk memenangi semua lima perlawanan yang bakal disusun tahun ini selepas belajar daripada kekalahan tahun lalu," katanya.

Ditanya mengenai Muensa yang bakal ditentangnya Sabtu ini, Adli Hafidz berkata, lawannya mempunyai rekod 16-10-1 namun ia sedikit pun tidak mengganggu mentalnya.

"Petinju Thailand ini mempunyai ketahanan yang baik, jadi ia adalah ujian pertama sebelum berdepan baki perlawanan selepas ini. Memang 2023 saya sibuk mempersiapkan diri untuk meningkatkan rekod kepada 14 hingga 15 kemenangan.

"Dalam persiapan ini saya turut dibantu oleh Institut Sukan Negara (ISN) dari aspek kecergasan," katanya.

Adli Hafidz juga mengambil semangat Farkhan Haron yang muncul juara baharu kelas bridgerweight Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia Disember lalu selepas menewaskan petinju Turkiye, Yousof Mohammadiosmanvandi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 8:50 PM