ADLI terkenal dengan gelaran Golden Boy.
ADLI terkenal dengan gelaran Golden Boy.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Petinju profesional negara, Adli Hafidz Pauzi, bakal terlepas peluang menambah tali pinggang kelima di Kejohanan Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) Asia di Bangkok pada 17 Oktober depan selepas mengalami kecederaan putus ligamen.

Menurutnya, kecederaan di bahagian buku lali kanan itu berlaku ketika dia beriadah bermain bola sepak bulan lalu.

"Saya sudah melakukan pembedahan minggu lalu dan sekarang ini perlu menjalani proses pemulihan selama enam bulan," katanya.

Ujar Adli Hafidz dia bukan sahaja mengalami kecederaan putus ligamen malah doktor memberitahu tulang pergelangan kakinya turut retak.

"Sebenarnya saya sudah membuat persediaan dari April lalu lagi untuk pertarungan ini. Jadi situasi ini memberi kesan kepada mental saya yang sentiasa aktif ini.

"Ini juga kecederaan paling teruk pernah saya alami sepanjang karier walaupun ia berlaku ketika saya terbabit dalam bukan sukan tinju," katanya.

Mei lalu dia yang terkenal dengan gelaran Golden Boy merekodkan kemenangan ke-12 dalam pentas Super Tinju Profesional KBK 52 di Singapura.

Ketika itu dia mencatat rekod 12-1-0 selepas menumbangkan Bambang Rusiadi dari Indonesia menerusi TKO.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 6:40 PM