MASKOT untuk Sukan Olimpik Paris 2024. FOTO AFP
MASKOT untuk Sukan Olimpik Paris 2024. FOTO AFP
AFP

Paris: Presiden World Athletics, Sebastian Coe berkata tiket untuk Olimpik Paris adalah 'mahal' dan memohon agar keluarga atlet diberi keutamaan oleh pihak penganjur.

Coe yang juga ketua penganjur Olimpik London 2012 menerusi persidangan bersama agensi berita termasuk AFP meluahkan kebimbangannya terhadap keluarga atlet yang mungkin terlepas menyaksikan detik istimewa itu pada temasya yang berlangsung tahun depan.

"Ia menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan temasya ini berlangsung dalam keadaan terbaik dan jawatankuasa penganjur Perancis melakukan segalanya-segalanya bagi memastikan stadium dipenuhi penonton walaupun kita sedia maklum bahawa harga tiket agak mahal.

"Kita perlu mengakui bahawa atas beberapa faktor, Paris bakal menyaksikan temasya Olimpik yang paling mahal sama ada untuk persatuan antarabangsa mahupun peminat.

"Keutamaan kami adalah untuk memastikan peminat dapat hadir ke stadium bagi menonton acara dengan harga yang berpatutan sekali gus dapat menyokong acara sukan sedia ada terutamanya apabila membabitkan atlet dan keluarga mereka.

"Saya rasa adalah amat penting untuk keluarga atlet diutamakan apabila mereka beraksi di kejohanan yang besar.

"Ini adalah perkara yang sentiasa kami usahakan sebaik mungkin di World Athletics," katanya.

Tiket yang paling mahal untuk sukan dalam Olimpik pada masa ini berharga 980 euro (RM5,000) tetapi tiket untuk sesi lain boleh didapati pada harga 90 euro (RM460).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 11:59 AM