ANGGOTA pasukan BMX Perancis bergambar ketika maskot Olimpik Paris Phryge turut dilihat di hadapan Stadium BMX, venue pertandingan BMX untuk Sukan Olimpik Paris. FOTO AFP
ANGGOTA pasukan BMX Perancis bergambar ketika maskot Olimpik Paris Phryge turut dilihat di hadapan Stadium BMX, venue pertandingan BMX untuk Sukan Olimpik Paris. FOTO AFP
AFP

Paris: Atlet menyertai kritikan berhubung harga tiket yang mahal untuk Sukan Olimpik Paris 2024 kerana ia bertentangan dengan janji penganjur yang menyatakan temasya itu boleh diakses oleh semua pihak.

Fasa kedua penjualan tiket bermula sejak 11 Mei lalu dengan hampir 1.5 juta tiket sedia untuk dijual selepas lebih tiga juta tiket pelbagai acara terjual semasa fasa pertama.

Menurut penganjur, penjualan berjalan dengan lancar, dengan dua pertiga tiket fasa kedua sudah terjual pada hari pertama.

Tiket untuk final heavyweight judo lelaki, di mana pemenang tiga kali pingat emas Olimpik dari Perancis, Teddy Riner dijangka beraksi, sudah habis terjual dalam masa dua jam.

"Sejujurnya jualan tiket bermula sangat hebat, banyak terjual. Ia membuktikan keterujaan cukup tinggi daripada peminat," kata jawatankuasa penganjur.

Bagaimanapun seperti fasa pertama, terdapat bantahan terutamanya di media sosial berhubung harga tiket yang terlalu mahal dan bertentangan dengan janji 'sukan untuk semua' oleh ketua jawatankuasa penganjur Paris 2024, Tony Estanguet.

"Kami menjangkakan kritikan itu, kami diberi amaran bahawa tempoh jualan adalah masa yang sukar," kata Estanguet, bekas juara kanu Olimpik tiga kali.

"Dengan empat juta mendaftar untuk mendapatkan 1.5 juta tiket yang dijual, kami sedar ramai yang akan kecewa."

Daripada satu juta kerusi yang dijanjikan pada harga 24 euro (RM128) sekeping tiket, yang juga harga paling murah untuk Sukan Olimpik tahun depan, hampir 150,000 tiket sudah terjual di fasa kedua.

Tetapi ketika proses penjualan tikat sedang berlangsung, mereka yang ingin membeli tiket mendapati berlaku lonjakan harga tiket.

Tiga hari selepas pelancaran fasa kedua, peminat ditawarkan tiket pada harga 690 euro (RM3,399) dan juga 980 euro (RM4,828) untuk menyaksikan separuh akhir olahraga, dan setinggi 2,700 euro (RM13,300) untuk upacara pembukaan rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 10:45 AM