SEBASTIAN Coe. FOTO AFP
SEBASTIAN Coe. FOTO AFP
Agensi

Glasgow: Cadangan penganjuran The Enhanced Games, temasya seperti Sukan Olimpik di mana doping dibenarkan adalah mengarut, kata Presiden Olahraga Dunia, Sebastian Coe.

Acara yang diasaskan oleh ahli perniagaan Australia, Aron D'Souza pada tahun lalu itu tidak akan tertakluk kepada peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (Wada).

D'Souza berkata atlet yang bersedia untuk mengambil bahagian dalam Olimpik Paris musim panas ini sudah menyatakan minat untuk bertanding.

Temasya itu membolehkan atlet sebenar serta yang mengambil bahan perangsang untuk bersaing sesama sendiri dengan tiada peraturan ketat untuk mana-mana atlet.

Coe berkata mana-mana atlet yang berbuat demikian adalah 'mengarut' dan akan menghadapi hukuman penggantungan seumur hidup.

Saya hanya ada satu pesanan, jika ada pihak yang cukup bodoh merasakan bahawa mereka mahu mengambil bahagian, mereka akan dihukum penggantungan selama-lamanya," kata Coe pada sidang akhbar sebelum Kejohanan Tertutup Olahraga Dunia di Glasgow.

Awal bulan ini, bekas perenang juara dunia, James Magnussen bersetuju untuk keluar daripada persaraan dan bersaing di The Enhanced Games dengan sasaran mahu memecahkan rekod bagi acara 50 meter (m) gaya bebas yang dilakukan pada 2009 dan dia bakal perolehi AS$1 juta (RM4.7 juta) sebagai ganjaran.

Temasya sukan itu akan merangkumi acara olahraga, renang, angkat berat, gimnastik dan sukan tempur, walaupun tarikh atau tempat belum ditetapkan.

D'Souza berkata atlet yang sudah menghubunginya berminat untuk 'menjana wang sebenar' pada tahun yang tiada penganjuran Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 11:29 AM