PELUMBA bersaing di Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu. FOTO Aswadi Alias
PELUMBA bersaing di Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Terengganu: Selepas meraih penamat kurang memberangsangkan pada peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, ketua pasukan kebangsaan, Muhammad Zawawi Azman mengisytiharkan bakal kembali mengerah segala kudrat untuk perlumbaan seterusnya.

Menurut Zawawi, dia menyifatkan peringkat pertama dari Kerteh ke Kuala Terengganu semalam sebagai satu platform untuk mencari rentak selepas berehat seketika daripada perlumbaan apabila pasukan disertainya sebelum ini, Sapura Team Cycling (TSC) dibubarkan Jun lalu.

"Bagi hari pertama (LTdL), saya hanya mahu buat yang terbaik. Cuba apa sahaja yang boleh di peringkat pertama supaya peringkat kedua nanti, boleh mencari jalan merealisasikan apa yang kita sasarkan," kata pelumba kelahiran Perak itu.

Pelumba berusia 29 tahun itu menamatkan perlumbaan peringkat pertama dengan berada di kedudukan ke-100 daripada 128 pelumba namun baginya, masih ada peluang untuk memperbaiki prestasinya terutama di peringkat kedua yang cabarannya dilihat hampir sama dengan peringkat pertama.

Peringkat kedua dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu sejauh 186.2 kilometer (km) hari ini membabitkan tiga zon pecutan di Bukit Nenas, Bandar Permaisuri dan Peringat selain dua zon pendakian di Setiu dan Pelong.

"Di peringkat pertama, semua pelumba masih mencari posisi. Sama juga seperti saya kerana sudah lama tidak berlumba. Jadi nak uji badan di peringkat pertama dan untuk peringkat yang akan datang, saya akan cuba lagi.

"Saya akan 'perang' lagilah. (Peringkat kedua) esok (hari ini) hampir sama seperti peringkat pertama. Saya tidak meletakkan apa-apa sasaran (peribadi) untuk LTdL. Kalau boleh peringkat demi peringkat perlumbaan, akan buat sebaik boleh," kata Zawawi.

Zawawi yang pernah muncul naib juara Tour de Lombok Mandalika 2018 memegang peranan bagi membantu pasukan mencapai hasrat ketua jurulatih, Mohd Yusuf Abdul Nasir untuk menyambar Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia.

Selepas berakhirnya peringkat pertama semalam, pasukan kebangsaan Malaysia memimpin klasifikasi pasukan dan mengekori di belakang adalah pasukan WorldTeam, Astana Qazaqhstan Team dan Proteam, Green Project-Bardiani CSF-Faizane.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 9:42 AM