AKSI Rose Zhang pada Kejohanan Golf Maybank 2023 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara, hari ini. FOTO BERNAMA
AKSI Rose Zhang pada Kejohanan Golf Maybank 2023 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain golf sensasi Amerika Syarikat, Rose Zhang mencatatkan lapan birdie untuk merampas kedudukan pendahulu dengan kelebihan tipis satu pukulan pada pusingan ketiga Kejohanan Maybank di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), di sini hari ini.

Selepas catatan 65 dan 68 pada dua pusingan pertama, pemain wanita berusia 20 tahun itu memperoleh satu bogey di par empat lubang ke-14 untuk mengutip keseluruhan tiga pusingan berjumlah 18 bawah par 198 pukulan.

Keputusan ituu membolehkan juara Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) pada penampilan sulung di Terbuka Mizuho Americas pada Jun lalu berjaya memintas pendahulu, Jasmine Suwannapura dari Thailand (63-69-67) yang mencatatkan enam birdie dan satu bogey pada saingan hari ini.

Jasmine menghuni tempat kedua bersama rakan sepasukannya Atthaya Thitikul dengan 17 bawah par 199 selepas pemain berusia 20 tahun itu mencatatkan 10 birdie untuk 10 bawah par 62 selepas mencatatkan 66 dan 71 dalam dua pusingan sebelumnya.

Pemain dunia nombor 32, Zhang, mempunyai peluang yang baik untuk menjuarai gelaran kedua dalam siri Jelajah LPGA esok jika dapat meneruskan rentak cemerlangnya dan engawal keadaan dalam pusingan penentuan esok.

"Permainan saya sangat kukuh sepanjang hari bermula dengan pukulan pertama hingga ke 'green'. Saya mampu melakukan pukulan putt. Saya rasa sungguh hebat dan harap dapat peluang seperti ini pada pusingan akhir esok," kata Zhang pada kejohanan bernilai AS$3 juta (RM14.34 juta) itu.

Berkunjung ke Malaysia untuk pertama kali, Zhang juga berkongsi kegemarannya terhadap makanan istimewa negara ini, terutamanya menikmati nasi lemak dan ayam goreng hampir setiap malam.

Dalam pada itu, Atthaya, yang hanya berjaya mencatatkan satu birdie dalam pusingan kedua sebelum kembali dengan cemerlang hari ini dengan 10 birdie, mengaitkan dirinya dengan "komitmen dan keyakinan diri."

"Saya cuba berfikiran positif iaitu sekurang-kurangnya saya tidak ada bogey semalam. Saya cuba memberi peluang kepada diri saya sendiri untuk membuat birdie atau melakukan putt. Ia agak mengecewakan apabila anda tidak dapat lakukan pukulan putt semasa anda sedang melakukan pukulan dengan baik," katanya.

Sementara itu, Ashleigh Buhai dari Afrika Selatan menjadi pemain pertama dalam pertandingan ini melakukan pukulan hole-in-one pada jarak 101 ela di par tiga lubang keempat.

Bagaimanapun, pemenang ShopRite LPGA Classic 2023 ini hanya berjaya mencatatkan dua bawah par 70 selepas mencatatkan birdie pada lubang ketujuh dan bogey pada lubang kesembilan dengan jumlah tiga pusingan empat bawah par 212, bersama dengan Narin An dari Jepun di tempat ke-46.

Natasha Andrea Oon, 22, kekal sebagai pemain terbaik Malaysia walaupun melakarkan bogey berganda pada par tiga lubang keempat dan bogey pada lubang ke-18 dengan birdie pada lubang kelima dan keenam untuk berkongsi tempat ke-52 bersama lima pemain lain dengan dua bawah par 214.

Jeneath Wong berkongsi tempat ke-58 dengan jumlah keseluruhan satu bawah par 215, diikuti oleh Ashley Lau di tempat ke-63 (216) manakala pemain utama negara, Kelly Tan di tempat ke-72 dengan jumlah lima di atas par 221.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 6:55 PM