Timbalan Presiden SRAM, Sharon Wee. -FOTO OCM
Timbalan Presiden SRAM, Sharon Wee. -FOTO OCM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menjangkakan kejayaan wakil negara di Sukan Asia Hangzhou 2022 bersandarkan kepada keputusan pada penyertaan mereka di Kejohanan Skuasy Individu Asia (AIC) di Hong Kong bermula 6 hingga 10 Jun ini.

Timbalan Presiden SRAM Sharon Wee berkata, ketika ini barisan pemain negara giat melakukan persediaan rapi bagi mengharungi kejohanan AIC berkenaan yang bakal menampilkan beberapa pemain elit seluruh Asia.

Beliau berkata, berdasarkan kepada prestasi wakil negara kemungkinan empat atlet lelaki dan atlet wanita yang dilihat mempunyai peluang sama rata bagi melangkah ke pentas final kejohanan itu.

Katanya, atlet lelaki yang bakal menggalas cabaran negara ialah juara bertahan Ng Eain Yow, Ivan Yuen, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar dan Mohd Syafiq Kamal manakala atlet wanita terdiri daripada Rachel Arnold, Aifa Azman, S Sivasangari dan Noor Ainaa Amani Ampandi.

"Sekarang ini, semua pemain Bersiap sedia untuk mengharungi perlawanan AIC dan juga wakil kita di luar negara juga tidak menghadapi masalah berkaitan prestasi.

"Sudah pasti AIC adalah ukuran pada standard kita di pentas Sukan Asia. Kebiasaannya kita cemerlang di pentas AIC dan saya percaya barisan kejurulatihan sudah menyiapkan barisan pemain kita terutamanya membabitkan senior," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan SRAM Mejar (B) S Maniam berkata, pihaknya akan memastikan wakil Malaysia bebas daripada sebarang kecederaan supaya mereka tampil lebih menyakinkan di pentas AIC.

"Kami melihat pemain Jepun bakal memberi tentangan sengit sekali gus memerlukan komitmen tinggi daripada wakil negara untuk mencipta keputusan positif.

"Setakat ini, semua mengikut perancangan dan pemain ini(AIC) turut akan mewakili negara di pentas Sukan Asia," katanya.

Mengikut rekod, pada edisi AIC 2021 di Islamabad, Pakistan, Eain Yow meraih kejuaraan bagi kategori lelaki sementara Rachel muncul naib juara saingan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 2:56 PM