BARISAN atlet karate meraikan kejayaan kontinjen negara mencapai sasaran 27 pingat di temasya Sukan Asia, Hangzhou.
BARISAN atlet karate meraikan kejayaan kontinjen negara mencapai sasaran 27 pingat di temasya Sukan Asia, Hangzhou.
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Langsung tidak diletakkan sebarang harapan, nama atlet karate negara Lovelly Anne Robbert tiba-tiba melonjak apabila menghadiahkan pingat perak buat negara pada hari pertama acara karate dipertandingkan.

Ia sekali gus melengkapkan sasaran 27 pingat buat kontinjen negara di temasya Sukan Asia Hangzhou kali ini.

Beraksi dalam acara kata individu, usahanya untuk menghadiahkan emas dinafikan oleh juara bertahan dari Jepun, Kiyou Shimizu yang juga pemenang pingat perak Olimpik Tokyo.

Kiyou bukanlah calang-calang lawan dan dengan profil kejayaannya iaitu dua kali juara dunia (2014, 2016), dua emas di Sukan Asia Incheon (2014) dan Jakarta-Palembang (2018), tiga emas di Kejohanan Asia (2015, 2018, 2019).

Dia turut merangkul perak di temasya Olimpik Tokyo (2020), perak di kejohanan dunia (2018) dan di Kejohanan Asia di Melaka baru-baru ini.

Namun berdasarkan mata diraih oleh Lovelly Anne ia satu peningkatan ketara dan memperlihatkan atlet negara mampu menandingi lawan lebih berpengalaman.

Lovelly meraih 39.80 mata tewas kepada Kiyou dengan 42.60 mata. Tiada diletakkan harapan, kejayaan Lovelly Anne mara hingga ke peringkat akhir sesuatu yang patut dipuji.

Lovelly Ann memulakan saingan dengan mengumpul 38.6 mata untuk mara ke pusingan kedua.

Aksi pusingan keduanya semakin mantap apabila meraih 40.40 mata sehingga berjaya menduduki ranking pertama dari empat peserta yang membolehkannya mara ke penentuan pingat emas.

Skuad karate dijangka berpeluang cerah untuk menyumbangkan satu lagi pingat emas menerusi kata berpasukan esok.

Jurulatih kata negara, Mohd Norfarhan Nordin berkata, beliau sudah mempunyai strategi terbaik dan berharap barisan atlet negara dapat mengekalkan momentum dalam usaha memburu emas.

"Kita sudah ada strategi dan kata pilihan dan kita akan cuba yang terbaik," katanya.

Kali terakhir atlet kata menyumbangkan pingat perak kata wanita adalah menerusi Lim Lee Lee di Sukan Asia, Guangzhou 2010.

Sementara itu dalam acara kumite lelaki bagi kategori bawah 75 kilogram (kg), R Sharmendran terpaksa beraksi di penentuan pingat gangsa selepas tunduk kepada atlet Kazakhstan di separuh akhir Azhikanov Nurkanat 3-4.

Dalam penentuan pingat gangsa itu Sharmendran berdepan Nurlanov Nazim dari Kyrgyzstan namun gagal memenangi perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 7:45 PM