LOVELLY bersama pingat perak miliknya. FOTO Reuters
LOVELLY bersama pingat perak miliknya. FOTO Reuters
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Air mata mengiringi kejayaan bermakna atlet karate negara, Lovelly Anne Robberth yang gagal menahan sebak kerana tidak dapat berkongsi kejayaannya merangkul pingat perak di pentas Sukan Asia bersama mendiang ibunya, Adriana Pamela Sundangit.

Lovelly Anne berkata, perak dimenanginya itu hadiah buat mereka yang sentiasa mendoakan kejayaan kepadanya.

"Pingat ini untuk ibu yang sudah meninggalkan saya dan untuk mereka yang mendoakan saya sehingga dapat naik podium dengan Olimpian.

"Saya gembira dan sangat bersyukur dapat mara ke final dan meraih pingat di Sukan Asia ini," katanya.

Lovelly Anne kehilangan ibunya ketika berusia 12 tahun kerana komplikasi di bahagian otak dan sejak itu dia tinggal bersama ayah dan keluarga serta neneknya di Penampang, Sabah.

Membesar sebagai anak yatim tidak menghalang Lovelly untuk terbabit dalam sukan dan dia yang kini berusia 19 tahun menjalani latihan sepenuh masa dan menetap di Majlis Sukan Negara (MSN) di bawah program atlet kebangsaan.

Katanya, dia langsung tidak menjangka dapat mara hingga ke final dan bertemu dengan seorang Olimpian yang mempunyai nama besar dalam acara kata itu.

"Saya sendiri tidak tahu untuk jelaskan perasaan saya kini. Dari segi prestasi saya puas hati sebab ini kali pertama saya sertai Sukan Asia dan dapat pergi hingga ke final," katanya.

Dalam aksi final itu, Lovelly Anne, tewas kepada juara bertahan dari Jepun, Kiyou Shimizu dan ia kejayaan hatrik Kiyou di temasya Sukan Asia selepas turut merangkul emas di Sukan Asia Incheon (2014).

Pingat gangsa diraih atlet Filipina Sakura Alforte dan Lau Mo Sheung Grace dari Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 7:59 PM