JAGUH perenang China, Zhang Yufei. FOTO AFP
JAGUH perenang China, Zhang Yufei. FOTO AFP
AFP

Hangzhou, China: Jaguh perenang dunia dari China, Zhang Yufei memberi amaran awal kepada pesaingnya di Sukan Olimpik Paris tahun depan bahawa dia sudah bersedia untuk menggegar kolam renang pada temasya sukan terbesar dunia itu nanti.

Perenang berusia 25 tahun itu, nyata terlalu unggul di Sukan Asia Hangzhou apabila memenangi pingat emas acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu menerusi catatan baharu temasya selain turut membantu kuartet 4x100m berganti-ganti campuran dengan melakar rekod baharu dunia.

Yufei berkata, dia masih belum puas dengan semua kejayaan di Hangzhou itu dan mahu melakukan lebih baik dengan memburu lebih banyak rekod dunia.

"Rasanya tidak begitu baik. Ini bukan rekod yang saya mahukan (100m kuak kupu-kupu), saya mahukan rekod dunia. Saya menyasarkannya kerana walaupun saya tidak dapat memecahkannya, saya mahu mendekatinya.

"Saya tidak akan mengubah sasaran saya. Jika saya menukar sasaran saya, saya tidak akan mempunyai dorongan untuk pergi ke Paris 2024 atau untuk pertandingan lain selepas Paris," katanya.

Sebelum bermulanya Sukan Asia itu, Yufei mengisytiharkan dia akan cuba memenangi tujuh emas bagi mengatasi perenang Jepun, Ikee Rikako yang memenangi enam pingat emas di edisi lalu pada 2018.

Yufei jelas berada pada prestasi terbaik di Hangzhou ketika ini berbanding semasa Kejohanan Akuatik Dunia pada Julai lalu di Fukuoka, di mana dia memenangi dua emas, satu perak dan dua gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 11:12 AM