DE Kleijn dari Tudor Pro Cycling Team meraikan kejayaannya. FOTO ASWADI ALIAS
DE Kleijn dari Tudor Pro Cycling Team meraikan kejayaannya. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Terengganu: Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn menunjukkan kepada peminat berbasikal Malaysia bagaimana dia boleh menumpaskan pakar pecut handalan dunia seperti Mark Cavendish, Jasper Philipsen dan Dylan Greunevegen selepas muncul juara peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 hari ini.

Pelumba yang terkenal dengan gelaran 'Little Gorilla' itu tidak berdepan masalah menahan asakan pelumba Human Powered Health, Sasha Weemaes dan juara peringkat pertama musim lalu, Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) ketika perlumbaan berakhir di Dataran Shahbandar.

"Saya menggenggam tangan di udara selepas memang sedar sudah muncul juara sebaik mengetahui mempunyai lebih kelajuan berbanding pelumba lain. Ketika menuju garisan penamat ia memang sangat hampir dengan semua.

"Apa pun ia memberi keyakinan kepada saya, satu pecutan yang bagus dan semuanya berjalan lancar. Saya harap dapat mencatat lebih banyak kemenangan selepas ini," kata pelumba berusia 29 tyahun itu.

Ditanya mengenai cabaran yang diberikan pelumba WorldTeam, Syritsa, De Kleijn mengakui pelumba berkenaan sangat hebat.

"Dia sebenarnya seorang pakar pecut yang hebat dengan memiliki tubuh lebih besar. Bagaimanapun, saya gembira dapat mengalahkannya. Mungkin saya bertubuh kecil memberikan sedikit kelebihan," katanya.

Tambah De Kleijn, dia berasa gembira menamatkan peringkat pertama dengan menyarung dua jersi (keseluruhan dan Raja Pecut).

Gelaran 'Litte Gorilla' terjadi ketika De Kleijn muncul juara peringkat pertama Tour of Turkiye 2021 di mana dia berjaya mengalahkan Andre Greipel yang terkenal dengan nama timangan, 'Gorilla'.

"Ketika itu saya memenangi peringkat pertama di Turkiye, dengan berjaya menumpaskan pakar pecut handalan dunia seperti Cavendish termasuk Greipel. Salah seorang pelumba senegara saya dari pasukan benua memanggil saya 'Littel Gorilla' kerana sama seperti Greipel tapi bersaiz kecil," katanya.

Sebelum perlumbaan peringkat pertama LTdL 2023 bermula, De Kleijn diramal sebagai pelumba yang bakal menyerlah pada edisi ke-27, walaupun ia adalah penampilan pertamanya dalam antara perlumbaan berprestij Asia ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 8:01 PM