CARLOS Alcaraz. FOTO Agensi
CARLOS Alcaraz. FOTO Agensi
Reuters

Toronto, Kanada: Pemain tenis nombor satu dunia, Carlos Alcaraz tewas mengejut di suku akhir Masters Kanada di Toronto selepas tumbang di tangan pemain Amerika Syarikat, Tommy Paul dengan 6-3, 4-6, 6-3.

Kekalahan itu jelas mengejutkan ketika Alcaraz diletakkan sebagai pilihan utama untuk menjuarai kejohanan itu.

Begitupun, pemain yang berasal dari Sepanyol itu gagal mengulangi rentak cemerlang ketika memenangi gelaran Wimbledon pada bulan lalu di mana dia menumbangkan pemain ternama, Novak Djokovic di pentas final.

Malah dalam tiga aksi di pusingan awal di Toronto itu, menyaksikan Alcaraz memulakan permainan agak perlahan di set awal sebelum bangkit di set berikutnya.

Prestasi sama dipamerkan Alcaraz di suku akhir apabila dia bermula perlahan dengan banyak melakukan kesilapan yang akhirnya dihukum Paul untuk memenangi set pertama.

Alcaraz cuba bangkit di set kedua, namun kegagalan mengekalkan konsistensinya menyaksikan dia tersingkir daripada kejohanan itu.

Paul yang berusia 26 tahun bakal beraksi di separuh akhir dan perlu menanti pemenang antara Gael Monfils atau Jannik Sinner.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 11:35 AM