SKUAD negara raih lima emas di Kejohanan Skuasy Remaja Asia. FOTO SRAM
SKUAD negara raih lima emas di Kejohanan Skuasy Remaja Asia. FOTO SRAM
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Skuad skuasy negara, menutup kempen Kejohanan Skuasy Remaja Asia dengan cemerlang apabila meraih lima pingat emas dalam aksi final yang berlangsung di Dewan Xiqang, Dalian hari ini.

Dalam aksi kategori utama, perempuan bawah 19 (B-19) tahun, pilihan pertama kejohanan, Aira Azman menepati ramalan untuk meraih gelaran juara keenam dalam saingan ini apabila menumpaskan Sehveetrraa Kumar.

Bagaimanapun kejayaan Aira itu tidak hadir dengan mudah apabila diberikan tentangan sengit, sebelum pemain itu bangkit untuk menang 9-11, 11-6, 11-8, 11-1.

"Saya amat gembira dengan prestasi saya dengan prestasi saya sepanjang kejohanan ini. Pastinya ia bukan mudah untuk saya kerana sebagai penyandang juara, ada banyak tekanan yang saya hadapi untuk mempertahankan kejuaraan ini," jelas Aira.

Joachim Chuah yang bersaing dalam kategori B19 tahun lelaki menebus kekecewaan tahun lalu apabila menewaskan rakan senegara, Harith Danial Jefri dengan keputusan 11-9, 7-11, 10-13, 11-6, 13-11.

Dalam aksi lelaki B17 tahun, Low Wa Sern berjaya memberikan tentangan sengit untuk menumbangkan pemain Korea Selatan, Na Joo Young apabila menang dengan keputusan 11-6, 11-9, 5-11, 13-11.

Kemenangan ini turut menebus kekecewaan Wa Sern pada edisi lalu di Na Chom Thian, Thailand apabila tewas kepada Joo Young dalam aksi final.

Jayden Oon yang beraksi dalam kategori lelaki B15 tahun turut beraksi cemerlang apabila menewaskan pemain Jepun, Shunsaku Kariyazono dengan keputusan 4-11, 11-4, 11-5, 11-5.

Pertemuan sesama Malaysia dalam kategori perempuan B13 tahun menyaksikan Jinoreeka Ning Manivannan mengatasi rakan sepasukan, Niea Chew selepas menang dengan keputusan 11-6, 9-11, 11-6, 16-14.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 7:11 PM