ANTARA aksi Aira hari ini. FOTO Agensi
ANTARA aksi Aira hari ini. FOTO Agensi
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Skuad skuasy remaja negara, cemerlang di Kejohanan Skuasy Remaja Asia yang berlangsung di Dewan Xiqang, Dalian selepas mendominasi sebahagian besar aksi separuh akhir hari ini.

Dalam kategori utama perempuan bawah 19 (B-19) tahun, Aira Azman membuktikan berada di kelas tersendiri apabila menyingkirkan cabaran pemain India, Pooja Arthi dengan keputusan 11-5, 11-6, 11-3.

Turut sama melangkah ke perlawanan final buat kali pertama adalah rakan senegara, Sehveetrraa Kumar yang berjaya menyingkirkan pemain Hong Kong, Tobby Tse, 11-3, 11-4, 11-9.

Selain pemain wanita, barisan pemain lelaki B-19 tahun juga turut cemerlang apabila kedua-dua pemain negara berjaya melangkah ke perlawanan akhir esok selepas menumbangkan lawan masing-masing.

Pemain pilihan pertama kejohanan, Joachim Chuah menepati ramalan untuk melangkah ke final selepas menumbangkan lawan Shaurya Bawal dari India.

Joachim akan menentang rakan senegara, Harith Danial Jefri selepas pemain itu mengatasi cabaran dari pemain Korea Selantan, Oh Seo Jin dengan keputusan 9-11, 11-8, 11-4, 11-9.

Ini juga peluang terbaik untuk Joachim meraih gelaran juara selepas edisi lalu di Na Chom Thian, Thailand, Joachim terpaksa bergelar naib juara apabila tewas kepada pemain Pakistan, Noor Zaman di pentas final.

Kejutan terbesar pastinya dalam saingan kategori B15 lelaki apabila pemain negara, Jayden Onn berjaya menumbangkan pilihan pertama kejohanan, Aryaveer Dewan dari India dengan keputusan 13-11, 4-11, 11-9, 4-11, 11-6.

Dua wakil negara dalam acara B13 perempuan turut cemerlang apabila Jnoreeka Ning Manivannan dan Niea Chew berjaya mara ke perlawana akhir.

Jnoreeka menewaskan wakil Hong Kong, Li Ka Man 11-4, 11-2, 12-10, manakala Niea dipaksa bekerja keras untuk mengatasi pemain Singapura, Kayla Choy dengan keputusan 11-8, 11-8, 11-4.

"Secara keseluruhan, kita sudah berjaya mencapai sasaran bagi acara B19 lelaki dan perempuan serta B13 perempuan. Kita harapkan kejutan untuk aksi final B17 dan B15 lelaki kerana mereka telah menampilkan satu prestasi memberangsangkan hari ini menewaskan pemain pilihan.

"Jadi tiga emas dalam tangan Malaysia dan kami berharap yang lain akan beraksi dengan baik esok," kata jurulatih skuasy remaja negara, Shahril Shahidan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 8:01 PM