AZEEM menamatkan larian di tempat kelima pada final 100m Kejohanan Olahraga Asia.
AZEEM menamatkan larian di tempat kelima pada final 100m Kejohanan Olahraga Asia.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ia bukan satu catatan masa yang diinginkan oleh jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang menamatkan saingan di tempat kelima dalam acara akhir 100 meter (m) dengan catatan 10.25 saat (s) di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand semalam.

Namun ia satu petanda yang baik bagi dirinya menjelang Kejohanan Dunia di Budapest Ogos ini dan Sukan Asia September nanti.

"Satu langkah pada satu masa. Saya akan mula semula untuk Sukan Asia. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya," katanya.

Begitupun pelari kelahiran Perak itu tetap berpuas hati dengan catatan masa 10.25 saat (s) yang menempatkan dirinya di kedudukan kelima terbaik Asia ketika ini.

"Sebenarnya ia minggu keempat saya kembali berlatih dalam intensiti tinggi, Alhamdulillah dapat buat masa yang baik walaupun ia bukan masa yang saya inginkan.

"Saya mahu sekurang-kurangnya dapat buat sekitar 10.02s tapi saya tahu ia adalah sukar terutama apabila anda kembali pulih daripada kecederaan," katanya.

Namun apa yang dicatatkan oleh Azeem itu dilihat satu pencapaian yang positif buat arena olahraga negara apabila berdasarkan kemampuannya yang baru berusia 19 tahun.

Malah ia turut diakui oleh jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yang menyifatkan bukan satu yang mustahil untuk Azeem menakluk Asia satu hari nanti dengan prestasi konsisten yang dipamerkan olehnya.

Terdahulu Azeem yang berlari di lorong ketujuh menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 10.25s yang mana ia sedikit jauh dengan rekod kebangsaan dipegangnya 10.09s.

Perlumbaan akhir acara 100 m lelaki itu dimenangi wakil Jepun, Hiroki Yanagita dengan catatan 10.02s yang juga adalah rekod peribadi terbaik pelari itu.

Pingat perak dimenangi atlet Arab Saudi, Abdullah Abkar Mohammed dengan catatan masa 10.19s manakala gangsa diraih wakil Iran, Hassan Taftian (10.23s).

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara 100m adalah menerusi Watson Nyambek yang meraih perak ketika tahun 1998 di Fukuoka, Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 2:20 PM