AZEEM mahu lupakan kegagalan di Budapest.
AZEEM mahu lupakan kegagalan di Budapest.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mengakui aksi di Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary minggu lalu tidak berjalan seperti dirancang.

Namun ia bukan masa untuk mengenang kegagalan itu dan usaha perlu terus digerakkan kerana tiba masanya untuk kembali fokus kepada latihan.

Azeem berkata, tumpuannya kini terarah kepada temasya Sukan Asia, Hangzhou, China yang berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober menyaksikan dia sekali lagi berdepan jaguh Asia terutama pencabar dari Jepun, China dan Thailand.

Ia masa untuknya menebus kegagalan di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok bulan lalu dengan menghadiahkan emas buat negara di Sukan Asia yang kali terakhir dimenangi oleh Datuk Rabuan Pit pada 1982.

"Tamat sudah Kejohanan Dunia. Ia tidak berjalan seperti dirancang tetapi saya tetap bersyukur atas peluang ini. Masa untuk saya bergerak dan kini tiba masanya untuk fokus semula dan kembali berlatih.

"Tugas saya masih belum selesai dan kini kita akan menuju ke Sukan Asia. Terima kasih khas kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan dari dulu hingga kini," kata Azeem yang juga penuntut di Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS).

Dalam aksi di Sukan Asia, Azeem dijangka bersaing dengan pelari Jepun, Hiroki Yanagita yang meraih emas di Kejohanan Olahraga Asia dan jaguh pecut Thailand, Puripol Boonson yang muncul juara Asia Tenggara di Kemboja Mei lalu.

Terdahulu dalam aksi di Kejohanan Dunia, Azeem terpaksa berpuas hati apabila menamatkan saingan di tempat ketujuh saringan keempat pusingan pertama.

Azeem, 19, gagal melangkah ke separuh akhir selepas sekadar menamatkan saringan keempat pusingan pertama di kedudukan ketujuh daripada lapan peserta.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu merakam masa 10.26s pada aksi yang berlangsung di Stadium Olahraga Nasional.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 2:07 PM