TERENGGANU membenam cabaran Negeri Sembilan yang juga lawan sama tahun lalu dengan 21-10. FOTO Ihsan Kesatuan Ragbi Malaysia
TERENGGANU membenam cabaran Negeri Sembilan yang juga lawan sama tahun lalu dengan 21-10. FOTO Ihsan Kesatuan Ragbi Malaysia
BERNAMA

Ipoh: Terengganu menepati ramalan apabila menjuarai Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan yang berlangsung di Stadium Ragbi Perak di sini, petang tadi.

Turun selaku juara bertahan, Terengganu membenam cabaran Negeri Sembilan yang juga lawan sama tahun lalu dengan 21-10 untuk membawa menjulang kejuaraan dan wang tunai RM5,000.

Dalam perlawanan akhir itu, Terengganu memperoleh tiga try, masing-masing disempurnakan Muhammad Iqbal Muhamad Anuar dan Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi menyempurnakan dua try selain tiga conversion yang disudahkan oleh Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi dan Mohammad Nazreen Fitri Nasrudin.

Sementara itu, pasukan Negeri Sembilan sekadar memperoleh dua try melalui Suhaikal Suhaimi dan Fakhrul Idzham Azahar.

Sementara itu, pasukan Kelantan hanya berpuas hati di tangga ketiga selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Perak 34-12.

Dalam perlawanan akhir kategori Wanita Terbuka, Selangor menewaskan Sabah 22-17 untuk dinobatkan juara dan Terengganu di tempat ketiga selepas menumbangkan Sarawak 26-0.

Kategori Lelaki Bawah 20 Tahun menyaksikan juara milik Johor selepas menang bergaya selepas menjinakkan Terengganu 17-7 manakala Selangor di tempat ketiga menewaskan Perak 19-7.

Terengganu turut muncul juara dalam kategori Wanita Bawah 20 Tahun selepas menumpaskan Labuan 24-10, manakala Selangor terpaksa berputih mata apabila tewas 5-7 kepada Sarawak dalam perebutan tempat ketiga dan keempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah dan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Shahrul Zaman Yahya hadir dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 8:57 PM