Pemain ping pong Syria, Hend Zaza. FOTO AFP
Pemain ping pong Syria, Hend Zaza. FOTO AFP
AFP

Damascus: Atlet Syria, Hend Zaza baru berusia lima tahun ketika dia baru mengenali permainan ping pong dan kini pemain berusia 12 tahun itu menjadi atlet termuda yang bersaingan di Olimpik Tokyo.

Aksi Hend mencuri perhatian ketika dia mewakili negara yang dilanda perang tahun lalu, dia menewaskan pencabar dari Lubanan untuk memenangi saingan kejuaraan Asia seterusnya membolehkannya layak ke Olimpik.

Dia atlet wanita tunggal membabitkan enam atlet dalam pasukan untuk memenangi pingat Olimpik keempat untuk negaranya.

Dia akan memulakan saingan dalam kejohanan di Tokyo menentang pemain Austria, Liu Jia, 39, dalam pusingan kelayakan bagi kategori perseorangan wanita, esok.

Hend menjadi Olimpian termuda sejak Beatrice Hustiu, 11, bertanding dalam acara luncur ais pada Olimpik Musim Sejuk 1968.

Jurulatihnya, Adham Jumaan berkata bakat Hend dikesan ketika dia baru berusia lima tahun.

Ketika itu dia bermain ping pong bersama abangnya, Obeida yang juga juara ping pong remaja kebangsaan di sebuah dewan dekat Hama, Syria.

"Saya terkejut dengan fizikalnya, tindak balas pantas dan mempunyai naluri yang dipamerkan. Dia sememangnya mempunyai bakat semula jadi," kata Jumaan.

Melihatkan bakat pemain itu, dia kemudian memberikan latihan harian di pusat sukan yang sama.

Tujuh bulan kemudian, ia tampak membuahkan hasil apabila Hend menamatkan saingan di tempat kedua Kejohanan Junior Syria 2015 hanya ketika berusia enam tahun.

Bakatnya terus digilap dan pada usia sembilan tahun, dia memenangi Kejohanan Kebangsaan bawah 12 tahun dan Kejohanan Asia Barat. Selain memenangi Piala Wanita Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 2:57 PM