LEE Wei (tengah) bersama Alice Chang (kanan) dan Chong Javen. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL.
LEE Wei (tengah) bersama Alice Chang (kanan) dan Chong Javen. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet ping pong negara, Alice Chang Li Sian mahu kehadirannya dalam pasukan negara mampu meraih kejayaan gemilang termasuk membawa pulang pingat emas di Sukan Sea Hanoi, Vietnam.

Kali terakhir skuad wanita meraih pingat adalah gangsa acara berpasukan di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 sebelum kategori itu tidak dipertandingkan di temasya Filipina 2019.

Alice berkata, Sukan Sea Hanoi adalah platform terbaik untuknya mempertahankan kilauan pingat bagi skuad berpasukan negara.

"Saya dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk Sukan Sea tahun ini dan kami berharap dapat mengekalkan pingat diraih dalam acara berpasukan.

"Kami turut mengharapkan pingat dalam acara individu. Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi kami akan cuba sebaik mungkin," kata Alice yang bersama Ng Sock Khim, Lee Rou You, Ho Ying dan Ting Hie Phin meraih gangsa di Kuala Lumpur 2017.

Di Filipina 2019, skuad ping pong negara meraih dua gangsa dalam acara beregu lelaki menerusi gandingan Choong Javen-Amos Ling Yi Heng dan Muhammad Ashraf Haiqal-Wong Qi Shen.

Sementara itu, jurulatih ping pong negara, Beh Lee Wei berkata, Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menyasarkan dua gangsa dalam acara berpasukan lelaki dan wanita.

Beliau berkata, sasaran itu dilihat realistik memandangkan pasukan negara tidak menyertai mana-mana kem latihan atau kejohanan di peringkat antarabangsa disebabkan pandemik Covid-19.

"Disebabkan pandemik ini berlaku di seluruh dunia, kami tidak dapat berlatih di luar negara. Perkara sama dilalui negara lain dan mereka juga sama.

"Namun bagi saya, motivasi pasukan kini berada pada tahap tinggi, untuk keluar bertanding dan diharapkan mereka dapat melakukan kejutan," katanya.

Skuad ping pong kali ini dibarisi tujuh pemain lama dan tiga muka baharu. Tiga muka baharu itu adalah Lee Yong Yi, Danny Ng Wann Sing dan Im Li Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 7:17 PM