ANDRE ketika beraksi di Sukan Komanwel Birmingham. FOTO Reuters
ANDRE ketika beraksi di Sukan Komanwel Birmingham. FOTO Reuters
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Nasib tidak menyebelahi atlet lompat kijang negara, Andre Anuar apabila penampilan sulungnya pada temasya Sukan Komanwel berakhir bukan seperti diharapkannya.

Pada saingan Sukan Komanwel 2022 di Stadium Alexander di sini, semalam, ketiga-tiga lompatannya dibatalkan berikutan gagal melakukannya dengan sempurna.

Ini menyebabkan juara lompat kijang Sukan SEA 2021 di Hanoi itu tersingkir awal bersama seorang lagi peserta dari Papua New Guinea, Richard Peniel akibat melakukan kesalahan serupa.

Jurulatih lompat kijang, Ahmad Firdaus Salim ketika ditanyakan mengenai perkara itu berkata Andre sendiri terkejut dan bingung dengan situasi yang dihadapinya itu.

"Bukan saja saya yang terkejut dengan pembatalan ketiga-tiga lompatannya itu, malah dia sendiri memaklumkan tidak tahu apa yang berlaku," katanya ketika ditanya mengenai keputusan no mark yang tertulis pada catatan markah Andre sejurus selepas menamatkan tiga lompatan di temasya Sukan Komanwel 2022 itu.

Menurut Ahmad Firdaus ini adalah kali pertama Andre berdepan situasi berkenaan sejak bergerak secara aktif dalam acara lompat kijang berbanding lompat jauh sebelum itu.

Katanya, anak didiknya itu sememangnya mengharapkan dapat melakukan sesuatu pada penyertaan pertama di Sukan Komanwel terutama peningkatan dari segi catatan peribadi.

"Saya berasakan kejadian ini berlaku mungkin disebabkan dia tidak dapat menyerap tekanan yang dihadapinya kerana ini adalah kali pertama dia berentap dengan jaguh-jaguh dunia.

"Selain itu mungkin akibat kekurangan pengalaman dan pendedahan terutama di pentas antarabangsa. Dia juga baru aktif sukan ini kira-kira dua bulan sebelum temasya," katanya.

Ahmad Firdaus berkata catatan terbaik Andre setakat ini adalah 16.51 meter. Katanya, sebelum ke sini, beliau bersama anak didiknya itu menjalani latihan persiapan selama 10 hari di Paris bagi bagi memantapkan kelemahan pada dirinya.

Emas acara ini dimenangi Eldhose Paul daripada India dengan lompatan sejauh 17.03 meter (m) manakala perak milik rakan senegaranya, Abdulla Aboobacker Narangolintevid (17.02m) dan gangsa oleh Jah-Nhai Perinchief (16.92m)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 1:44 PM