HARRIF ketika beraksi di ACC. FOTO Mohd Harrif  Saleh
HARRIF ketika beraksi di ACC. FOTO Mohd Harrif Saleh
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal lebuh raya, Mohd Hariff Saleh berharap ada pihak yang sudi untuk menajanya peralatan bagi acara berbasikal trek.

Menurut Hariff, ketika ini dia hanya menggunakan basikal trek yang dipinjamkan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) ketika membuat penampilan dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai baru-baru ini.

"Basikal dan teknologi sekarang memang tak boleh dipisahkan. Kadang-kadang saya segan jugak nak luahkan di sini tapi apa kan daya kerana (saya) bermula kayuh basikal dan mewakili Malaysia pun memang dari velodrom.

"Saya memang berkeinginan jika ada pihak-pihak yang hendak menaja basikal trek velodrom ataupun peralatan lain seperti 'handle' dan peralatan lain untuk acara trek.

"Saya juga berterima kasih kepada MSNT Terengganu kerana memberi pinjam basikal baru-baru ini kepada saya untuk mewakili malaysia di saingan ACC dan kejohanan kebangsaan," tulisnya di akaun Facebooknya.

Untuk rekod, pada ACC 2023, Harrif berjaya menamatkan acara elimination (perlumbaan penyingkiran) di tangga kelapan daripada 15 pelumba biarpun hanya membuat persiapan dalam tempoh dua minggu.

Dalam pada itu Hariff berkata, dia percaya sekiranya dirinya memiliki basikal trek sendiri, ia mampu melonjakkan prestasinya terutama dari segi stamina dan pecut.

"Jika saya memiliki basikal sendiri mudah bagi saya berlatih untuk menguatkan lagi 'sprint' dan juga stamina saya selain latihan 'road' sekarang, tambahan pula, velodrom yang baru siap berpangkalan di Dungun, Terengganu ini lagi mudah untuk saya berlatih di sana.

"Saya berharap ada pihak dapat sudi membantu masalah saya ini. Saya jarang nak luahkan apa yg terbuku di hati ini..dan dapat merealisasikan impian saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 4:11 PM