PANDELELA berjanji akan memberikan persembahan terbaik di Doha. FOTO AFP
PANDELELA berjanji akan memberikan persembahan terbaik di Doha. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong mengintai peluang untuk membuat penampilan kali kelima berturut-turut pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadual bermula 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Pandelela berkata, dia kini menumpukan usaha untuk meraih tiket terakhir ke Paris 2024 menerusi Kejohanan Akuatik Dunia 2024 di Doha, Qatar dari 2 hingga 18 Februari ini.

Bukan sahaja cuba bersaing dalam acara 10 meter (m) platform individu buat kali kelima di Sukan Olimpik, penerjun berusia 30 tahun itu turut berharap membuat penampilan berturut-turut dalam acara 10m platform seirama wanita bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri, untuk Paris 2024.

"Setakat ini, semuanya berjalan lancar… saya hanya tumpukan terhadap terjunan terbaik dan melakukan yang terbaik seperti dalam latihan untuk kejohanan (di Doha).

"Saya juga tidak sabar untuk bergandingan dengan dia (Nur Dhabitah) dalam Kejohanan Akuatik Dunia dan memberikan persembahan terbaik kami," katanya yang dihubungi Bernama.

Sebelum ini, Pandelela pernah beraksi dalam empat Sukan Olimpik bermula dari Beijing 2008, London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Pada London 2012, atlet kelahiran Sarawak itu mencipta sejarah sebagai atlet wanita Malaysia pertama memenangi pingat Olimpik (gangsa) menerusi acara 10m platform individu.

Empat tahun kemudian di Rio 2016, dia meraih satu pingat perak bersama-sama bekas penerjun, Cheong Jun Hoong menerusi acara 10m platform seirama wanita.

Sekiranya Pandelela berjaya melayakkan diri ke Paris 2024, dia akan menyamai rekod dipegang bekas penerjun negara Datuk Leong Mun Yee yang setakat ini satu-satunya atlet Malaysia yang membuat lima penampilan Olimpik.

Di Doha, 12 penerjun terbaik dalam acara individu dan empat gandingan teratas bagi acara seirama akan mendapat tempat untuk Paris 2024.

Biarpun ramai atlet yang layak menerusi Kejohanan Akuatik Dunia tahun lepas, slot yang ada akan diberikan kepada penerjun dan gandingan terbaik di Doha.

Setakat ini, penerjun muda Bertrand Rhodict Lises muncul penerjun tunggal yang layak secara merit ke Sukan Olimpik 2024.

Atlet yang berasal dari Sarawak itu membuat penampilan sulung di Olimpik selepas mara ke final acara 10m platform individu lelaki dan menjadi antara 12 penerjun terbaik pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun.

Penerjun lain yang bersaing di Doha ialah Wendy Ng, Ooi Tze Liang, Muhammad Syafiq Puteh, Enrique Maccartney Harold dan Jellson Jabillin.

Ditanya tentang kem latihan selama dua bulan di China baru-baru ini, Pandelela berkata kem berkenaan memberi manfaat kepadanya terutama dari segi membina kekuatan mental dan fizikal menjelang Kejohanan Akuatik Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 1:37 PM