MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyerahkan Jalur Gemilang  kepada Noor Syahieda ketika Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia Ke Temasya Sukan Para Asean Kali ke-12, Kemboja2023 di Stadium Bukit Jalil, semalam. FOTO BERNAMA
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyerahkan Jalur Gemilang kepada Noor Syahieda ketika Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia Ke Temasya Sukan Para Asean Kali ke-12, Kemboja2023 di Stadium Bukit Jalil, semalam. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet Malaysia ke temasya Sukan Para Asean (APG) 2023 kemungkinan besar tidak menghadapi masalah selepas mereka menjalani klasifikasi mengikut kelas dan jenis kekurangan sebelum dibenarkan menyertai acara masing-masing.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke APG 2023 Kemboja, Noor Syahieda Mat Shah berkata, pihaknya sudah membuat persiapan awal dengan menjalani proses berkenaan supaya tidak timbul masalah pada saat akhir hingga menyebabkan atlet terpaksa menukar kelas atau kategori.

"Pada tahun ini, kami buat klasifikasi dalaman mengikut nama yang sudah disenarai pendek (ke Sukan APG 2023).

"Kami mohon bantuan daripada yang berkelayakan untuk memeriksa atlet kami sekiranya mereka layak bertanding mengikut kategori didaftarkan pada bulan lalu.

"Perkara ini sangat penting supaya kami dapat mengurangkan masalah (di Kemboja) dan sekiranya apa-apa berlaku di Kemboja, kami boleh selesaikan dan sekarang kami berkeyakinan dan Insya-Allah semua berjalan lancar," katanya.

Noor Syahieda yang dilantik sebagai CDM wanita pertama APG berkata, beliau akan melaksanakan tugas dengan baik bagi memastikan semua perancangan berjalan seperti ditetapkan.

Terdahulu, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengumumkan kontinjen negara menyasarkan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa pada APG 2023 di Phnom Penh, Kemboja yang berlangsung dari 3 hingga 9 Jun ini.

Kontinjen negara akan diperkuatkan dengan 144 atlet yang akan mengambil bahagian dalam 13 daripada 14 jenis sukan dipertandingkan di Kemboja termasuk satu sukan demo iaitu e-Sukan.

Pada edisi ke-11 yang diadakan di Solo pada Julai dan Ogos tahun lalu, selepas terjejas dengan pandemik Covid-19, Malaysia yang diwakili kontinjen kecil iaitu 73 atlet, beraksi cemerlang untuk membawa pulang 36 emas, 20 perak dan 14 gangsa bagi menamatkan cabaran di tempat keempat keseluruhan.

Pada edisi KL 2017, Malaysia menamatkan saingan di tempat kedua dengan 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa apabila saiz kontinjen negara melebihi 300 atlet manakala acara pada 2019 di Filipina pula dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 2:34 PM