SHARUL Aimy ketika beraksi dalam acara melombol di Sukan Asia Hangzhou. -FOTO NSTP
SHARUL Aimy ketika beraksi dalam acara melombol di Sukan Asia Hangzhou. -FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Gimnas lelaki negara Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam yang dalam usaha layak ke Sukan Olimpik Paris, gagal layak ke final acara melombol pada siri pertama Piala Dunia Aparatus FIG (Persekutuan Gimnastik Antarabangsa) 2024 di Kaherah, Mesir semalam.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu, mencatatkan mata purata 13.566 selepas meraih 14.230 dan 12.900 mata, pada lompatan pertama dan kedua untuk menduduki tempat ke-27 daripada 42 peserta pada pusingan kelayakan di Dewan 1, Stadium Antarabangsa Cairo.

Seorang lagi gimnas negara, Ng Chun Cheng pula menduduki tempat terakhir dengan mata purata 5.050 manakala atlet Armenia, Artur Davtyan mengungguli kutipan mata dengan mengumpul mata purata 15.000.

Hanya lapan gimnas kelapan terbaik, layak ke final esok.

Timbalan Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Francis Lau berkata walaupun bermula dengan baik, namun kesilapan semasa mendarat pada lompatan kedua, menyebabkan Muhammad Sharul Aimy gagal ke final.

"Jika Muhammad Sharul Aimy tidak jatuh ke belakang dan tangannya menyentuh lantai ketika mendarat pada lompatan kedua, saya percaya beliau akan layak ke final.

"Bagi Cun Chen pula beliau gagal mencatatkan sebarang mata apabila beliau jatuh selepas tangannya tergelincir pada lompatan pertama. Namun beliau berjaya pada lompatan kedua dan mengutip 10.010 mata, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Francis berkata kedua-dua gimnas itu perlu meningkatkan prestasi mereka pada tiga lagi siri Piala Dunia iaitu di Cottbus, Jerman (22-25 Feb), diikuti Baku, Azerbaijan (7-10 Mac) dan Doha, Qatar (17-20 April), untuk mengembalikan peluang layak ke Paris 2024.

Siri Piala Dunia 2024 akan menawarkan dua kuota bagi setiap jantina untuk setiap aparatus berdasarkan tiga keputusan terbaik gimnas, merentas empat pertandingan.

Sukan Olimpik 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 6:57 PM