KETUA Kontinjen Negara ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali. FOTO FB MOM
KETUA Kontinjen Negara ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali. FOTO FB MOM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Senarai akhir kontinjen negara ke Sukan Sea Kemboja akan diumumkan pada 13 Mac ini selepas pendaftaran penyertaan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengelola Sukan Sea Kemboja (CAMSOC), Ahad ini.

Setakat ini, 594 atlet dan 204 pegawai sudah dikemukakan oleh Persatuan Sukan Kebangsaan gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dipilih dalam kategori A dan B.

Namun jumlah itu dijangka akan berubah kerana masih terdapat beberapa persatuan akan mengemukakan senarai akhir mereka termasuk olahraga.

Justeru, Ketua Kontinjen negara ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali menasihatkan setiap pengurus pasukan supaya bersiap sedia dengan segala kemungkinan.

"Saya ingin mengingatkan pengurus pasukan agar bersiap siaga berdepan dengan cabaran dari segi logistik dan penganjuran secara umum di Kemboja yang akan menjadi tuan rumah temasya dwitahunan ini untuk julung kali.

"Disebabkan temasya Sukan Sea ini berlangsung dua bulan dari sekarang, kami berharap persatuan dan pengurus pasukan merangka strategi dalam memastikan atlet dapat mencapai tahap optimum di Kemboja," katanya.

Beliau turut meminta setiap pengurus pasukan untuk bersedia menjadi pembimbing kepada atlet masing-masing kerana rata-rata atlet yang terpilih kali ini adalah mereka yang berusia di bawah 23 tahun.

Sementara itu, mengenai wabak selesema burung di Kemboja yang mengorbankan seorang kanak-kanak, tiga hari lalu, beliau berkata Institut Sukan Negara (ISN) akan mengambil langkah berjaga-jaga dan setiap atlet dinasihatkan berwaspada sepanjang tempoh temasya berlangsung.

"CAMSOC sudah melakukan persiapan rapi dalam menyediakan perkampungan sukan di Phnom Penh yang ketika ini siap 70 peratus.

"Berdasarkan hasil lawatan pihak urusetia baru-baru ini, cuaca di Kemboja dijangka panas, kering dan berdebu pada April dan Mei nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 7:33 PM