Khairul Hafiz sukar meraih emas kerana kehadiran atlet muda Thailand, Puripol. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Khairul Hafiz sukar meraih emas kerana kehadiran atlet muda Thailand, Puripol. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengurus pasukan olahraga negara ke temasya Sukan Sea Datuk R Annamalai mengakui kesukaran untuk skuad olahraga menghadiahkan 10 pingat emas buat negara di temasya Sukan Sea Kemboja.

Bagaimanapun, seramai 64 atlet olahraga yang terpilih ke temasya itu diyakini mampu untuk memperbaiki pencapaian tahun lalu di Hanoi yang mana Malaysia meraih lima emas, tiga perak lapan gangsa.

"Untuk dapatkan 10 itu agak susah tapi kami akan berusaha untuk dapat lebih baik dari lima emas.

"Kami akan berusaha untuk mencapai matlamat yang ditetapkan oleh kontinjen dan saya berharap semua berjalan lancar dan atlet juga dalam keadaan sihat," katanya.

Annamalai mengakui bahawa peluang untuk atlet 100 meter (m) iaitu Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi meraih emas agak sukar kerana kehadiran atlet muda Thailand, Puripol Boonson yang mempunyai rekod pencapaian 10.09 saat (s) dan juga penyandang juara 100m dan 200m.

"Kita kena akui bahawa Thailand memang terbaik ketika ini dalam acara itu.

"Tanpa ketiadaan Azeem (Fahmi) memang sukar untuk mengharapkan pingat emas dan kita perlu ukur di badan sendiri," katanya.

Sementara itu barisan atlet olahraga dan renang pada Sukan Sea 2023 di Phnom Penh, Kemboja diharap dapat menampung kehilangan 15 pingat emas yang dimenangi kontinjen negara pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam.

Olahraga dan renang sememangnya menawarkan pingat yang paling banyak berbanding sukan lain dalam mana-mana temasya sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 2:44 PM