NORRIE berjaya memenangi perlawanan akhir Terbuka Rio. FOTO AP
NORRIE berjaya memenangi perlawanan akhir Terbuka Rio. FOTO AP
AFP

Rio de Janeiro: Pemain tenis Britain, Cameron Norrie mengambil kesempatan di atas Carlos Alcaraz yang kurang cergas untuk memenangi Terbuka Rio pagi tadi.

Norrie yang diletakkan sebagai pilihan kedua bangkit daripada tumpas di set pertama untuk merangkul kejuaraan kelima dalam kariernya untuk menang 5-7, 6-4, 7-5 dalam tempoh dua jam 40 minit.

Kemenangan Norrie itu hadir tujuh hari selepas pemain nombor 13 dunia itu tumpas kepada kepada pemain yang sama di final Terbuka Argentina di Buenos Aires.

"Ia sungguh istimewa untuk memenangi kejohanan ini, terutama selepas tumpas beberapa perlawanan akhir tahun ini," kata Norrie, yang juga tumpas daam perlawanan akhir di Auckland Januari lalu.

Bagaimanapun, ketika Norrie meraikan kejayaan, Alcaraz pula dihimpit dengan kebimbangan kecergasan baru selepas pertarungan itu menyaksikannya memerlukan lawatan berulang dari fisioterapi.

Pemain berusia 19 tahun itu, yang hanya kembali bermain tenis minggu lalu di Argentina selepas mengalami kecederaan selama empat bulan, jelas bergelut dengan sakit hamstring semasa perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 12:59 PM